Empat sekolah di Terengganu terjejas banjir, dua tempatkan calon SPM

24 Nov 2026 • 10:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat sekolah di Terengganu terjejas banjir, dua tempatkan calon SPM
SMKA Dato’ Haji Abbas ialah antara sekolah yang terjejas akibat banjir di Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Empat sekolah di Terengganu terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak Isnin, termasuk dua sekolah yang menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di asrama.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Perancangan dan Pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shamsuddin Md Yusof berkata, sekolah terjejas di Kuala Nerus ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), masing-masing menempatkan calon SPM.

Beliau berkata, dua lagi sekolah yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit Chendering dan SK Gelugor di Kuala Terengganu.

"Setakat ini situasi di SMKA Dato’ Haji Abbas dan SSMT, tiada bangunan dinaiki air kecuali kawasan rendah di sekitar kawasan sekolah. Hanya pelajar Tingkatan Lima yang menduduki SPM berada di asrama dan mereka tinggal di tingkat kedua blok asrama.

"Bagi pelajar lain pula, penjaga masing-masing telah dimaklumkan untuk membawa mereka pulang ke rumah. Difahamkan, keadaan air bertakung di kawasan sekolah berpunca daripada longkang yang dipenuhi air dan dijangka surut sekiranya hujan reda,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, SMKA Dato’ Haji Abbas mempunyai 176 calon SPM manakala terdapat 26 calon di SSMT.

Katanya, sekolah yang terjejas telah diarahkan untuk ditutup sementara manakala murid dan pelajar diarahkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh tersebut.

Dalam pada itu, Shamsuddin yang juga Penyelaras Bencana JPNT berkata Kementerian Pendidikan telah mengambil inisiatif dengan membina sebuah bangunan empat tingkat yang baharu bagi menggantikan bangunan daif di SK Kampung Bukit Chendering.

Beliau berkata, bangunan baharu dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada November 2028 itu juga sebagai langkah mengatasi masalah banjir dan air bertakung yang berlaku setiap tahun di sekolah berkenaan ekoran terletak di kawasan tanah rendah.

"Pembinaan ini juga mengambil kira keadaan semasa sekolah tersebut yang berada lebih rendah daripada aras jalan dan menyebabkan sering berlaku banjir di sekolah.

"Projek dengan kos keseluruhan RM13 juta ini akan menempatkan ruang serbaguna terbuka di aras bawah, bilik guru di aras dua serta enam bilik darjah di tingkat tiga dan empat," katanya. - Bernama 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved