Empat suspek curi kabel turut didakwa cuba membunuh

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 7:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat suspek curi kabel turut didakwa cuba membunuh
Empat individu yang dilaporkan cedera dalam kemalangan awal pagi Selasa, bukan saja disyaki terlibat mencuri kabel elektrik tetapi juga turut didakwa cuba membunuh semasa melarikan diri daripada pihak polis. Gambar hiasan

KOTA KINABALU - Empat individu yang dilaporkan cedera dalam kemalangan pada awal pagi Selasa, bukan saja disyaki terlibat mencuri kabel elektrik tetapi juga turut didakwa cuba membunuh semasa melarikan diri daripada pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya mengesahkan mengenai penahanan melibatkan empat lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 43 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel di kawasan Lido, di sini.

Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan telah menahan empat lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel serta cubaan membunuh dalam satu kejadian di kawasan Lido, awal pagi tadi.

"Kejadian berlaku pada jam 3.19 pagi apabila sepasukan anggota ronda cegah jenayah Zon 3 Luyang menerima maklumat berhubung aktiviti kecurian kabel berhampiran sebuah pasar raya di Lido.

"Pasukan polis yang tiba di lokasi mendapati sekumpulan lelaki sedang melakukan kegiatan tersebut sebelum kesemua suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis," katanya dalam kenyataan.

Syed Lot berkata, suspek bertindak memandu secara melawan arus dan berbahaya serta cuba melanggar kenderaan polis beberapa kali.

"Dalam usaha melarikan diri, kenderaan suspek telah melanggar sebuah kenderaan orang awam dan menyebabkan pemandunya cedera.

"Seramai empat suspek lelaki berjaya ditahan, manakala seorang lagi masih diburu," katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.

"Ini termasuk alat pemotong, chain block, besi yang diubah suai serta gulungan kabel.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan kesalahan mencuri kabel," katanya.