Empat syarikat didenda RM1 juta kerana miliki diesel bersubsidi tanpa lesen

LocalBusiness & Finance
12 Feb 2026 • 9:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mahkamah Sesyen Sibu menjatuhkan hukuman denda RM1 juta ke atas empat syarikat kerana memiliki minyak diesel bersubsidi tanpa lesen. Gambar hiasan.

SIBU - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman denda RM1 juta terhadap empat syarikat setelah didapati bersalah atas tuduhan memiliki 324,136 liter minyak diesel bersubsidi tanpa lesen runcit barang kawalan berjadual.

Hakim Musyiri Peet memutuskan demikian selepas empat syarikat berkenaan, yang diwakili pengarahnya Johnson Tiu Siew Hua dan Tiew Sii Kwong, membuat pengakuan bersalah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat Sri Minyak Tenaga Sdn Bhd di Jeti Tanjung Engkilo, Batang Rejang pada 3.06 petang, 25 Ogos 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta yang sama.

Kedua-dua pengarah syarikat tersebut membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sarawak, Iezzah Iburdanisha Ibrahim, manakala syarikat diwakili peguam Timothy Lim Teng. - Bernama