Empat syarikat termasuk Carsome dilantik laksana pemeriksaan pertukaran hak milik kenderaan persendirian - MOT

LocalCars
16 Jul 2025 • 4:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Empat syarikat termasuk Carsome dilantik laksana pemeriksaan pertukaran hak milik kenderaan persendirian - MOT

image is not available

16/07/2025 - 16:28

KUALA LUMPUR 16 Julai - Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik empat syarikat bagi melaksanakan perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan pertukaran hak milik (M.V.15) untuk kenderaan persendirian.

Empat syarikat yang dilantik adalah Carro Technology Sdn Bhd, Carsome Academy Sdn Bhd, Wawasan Bintang Sdn Bhd, dan Beriman Gold Sdn Bhd.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelantikan empat syarikat tersebut adalah bagi melaksanakan pemeriksaan M.V.15 merupakan salah satu usaha kementerian untuk meningkatkan penawaran perkhidmatan pemeriksaan hak milik kenderaan di pasaran.

Beliau berkata, inisiatif itu juga memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan hak milik kenderaan tanpa perlu bersesak di PPKM sedia ada yang turut menjalankan pemeriksaan berkala ke atas kenderaan berat.

“Sebelum ini, mana-mana pemilik kenderaan yang ingin menjual kereta atau membeli kereta terpakai perlu menghantar kenderaan untuk pengesahan sebelum pertukaran hak milik dibenarkan.

“Kini mereka hanya mempunyai satu pilihan, iaitu pergi ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), jadi dengan pembukaan pasaran baharu ini, ia akan lebih memudahkan proses pertukaran hak milik kenderaan kerana orang ramai boleh pergi ke mana-mana premis syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Loke, pelantikan empat syarikat tersebut dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023, yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] kepada syarikat-syarikat lain yang layak.

Beliau berkata, semua syarikat yang dilantik diberi tempoh 12 bulan untuk membuat persiapan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pemberian Lesen PPKM M.V.15.

“Dalam tempoh ini, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) akan menjalankan pemantauan berterusan dan lesen operasi hanya akan diberikan selepas syarikat berkenaan memenuhi semua keperluan peraturan dan keperluan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi,” katanya.

Antara syarat utama adalah keupayaan kukuh syarikat dengan modal berbayar minimum RM1 juta, berstatus Sdn Bhd dan milikan tempatan, serta mengemukakan cadangan lokasi untuk pertimbangan tertakluk kepada kelulusan MOT atau JPJ.

Selain itu, syarikat juga perlu menyediakan infrastruktur merangkumi premis, pemerolehan peralatan pemeriksaan, integrasi dengan sistem MySIKAP dan keperluan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, serta memastikan pemeriksa kenderaan bermotor mendapat akreditasi kompetensi daripada JPJ sebelum dibenarkan menjalankan tugas.

“Memandangkan beberapa syarikat yang ditawarkan turut menjalankan aktiviti lain seperti jual beli kenderaan terpakai, syarikat dikehendaki menyediakan bilik atau lorong pemeriksaan khas serta kakitangan khas bagi tujuan operasi PPKM M.V.15, tertakluk kepada piawaian Penilaian Pematuhan ISO/IEC 17020:2012 bagi Operasi Pelbagai Jenis Badan yang Menjalankan Pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan lebih banyak PPKM bertujuan meningkatkan persaingan sihat dan memastikan kualiti pemeriksaan kenderaan yang lebih baik demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengembangan PPKM ini juga selaras dengan dasar semasa perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, di mana kerajaan telah beralih daripada sistem konsesi pemain tunggal kepada sistem pelesenan berbilang syarikat,” katanya.

Loke turut berkata, pada masa akan datang kementerian akan meneliti sama ada terdapat keperluan untuk mewajibkan pemeriksaan motosikal sebelum pertukaran hak milik dibenarkan.

“Buat masa ini, kita tidak mewajibkan pemeriksaan motosikal sebelum pertukaran hak milik, tetapi selepas kita mempunyai kemudahan yang lebih baik, kita akan lihat juga sama ada ada keperluan untuk motosikal turut disahkan terlebih dahulu sebelum pertukaran hak milik dilaksanakan,” katanya.- DagangNews.com

standard