
Empat Terbunuh Dalam Serangan Israel Di Syria
Sekurang-kurangnya empat orang dilapor terbunuh akibat serangan Israel di selatan Syria pada Selasa.
Memetik laporan AFP, seorang pegawai di kementerian pertahanan mengesahkan tiga tentera terbunuh dalam serangan berhampiran Damsyik.
“Sebuah dron Israel menyasarkan salah satu bangunan tentera divisyen ke-44 tentera Syria di Kiswah, barat Damsyik, membunuh tiga anggota bahagian itu,” kata pegawai terbabit yang tidak mahu namanya disiarkan.
Sebelum itu, agensi berita rasmi SANA melaporkan bahawa seorang lelaki muda terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di kampung Taranja.
“Syria mengutuk serangan Israel, yang mengakibatkan kematian syahid seorang pemuda,” kata kementerian luar negeri.
Mereka juga mengutuk pencerobohan tentera Israel ke atas sebuah bandar di Quneitra.
Ujar kementerian itu lagi, tindakan agresif Israel secara terang-terangan melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan.
“Ia merupakan ancaman langsung kepada keamanan dan keselamatan di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, tentera Israel pada Ahad berkata bahawa mereka menjalankan beberapa ‘aktiviti’ pada minggu lalu di selatan Syria untuk mencari senjata dan menangkap suspek.
Kementerian luar Arab Saudi berkata serangan Israel adalah pelanggaran nyata terhadap kedaulatan Republik Arab Syria dan undang-undang antarabangsa.
Kementerian Luar Qatar pula menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap pendudukan Israel dan memaksanya menghentikan serangan berulang ke atas wilayah Syria.
Sejak penggulingan Bashar al-Assad pada Disember lalu, Israel telah menduduki sebahagian besar zon demilitarisasi yang dikawal oleh PBB di sebelah garis gencatan senjata yang dikawal oleh Syria, termasuk puncak Gunung Hermon iaitu puncak tertinggi di rantau itu.
Minggu lalu, Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani bertemu Menteri Hal Ehwal Strategik Israel Ron Dermer di Paris untuk mendesak supaya kembali kepada pengaturan yang telah dilaksanakan sejak perjanjian pemisahan 1974.
Rundingan telah dibuka antara kedua pihak, namun serangan Israel ke atas wilayah di negara itu masih diteruskan.
Sumber: AFP
The post Empat Terbunuh Dalam Serangan Israel Di Syria appeared first on Siakap Keli.



