MELAKA – Enam beradik orang kurang upaya (OKU) lembam menarik nafas lega apabila rumah baharu yang dijanjikan kepada mereka berjaya disiapkan dalam tempoh kurang sebulan, membolehkan mereka berkumpul semula menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Kakaknya, Zaharah Bulat, 64, berkata sebelum ini mereka terpaksa berpisah sementara selepas rumah lama mereka dirobohkan kerana tidak lagi selamat untuk diduduki.
Menurutnya, empat beradik lelaki iaitu Sofian Bulat, 57; Suhaimi Bulat, 55; Shahrin Bulat, 53; dan Mohd Khairi Bulat, 45, terpaksa tinggal di dalam khemah berhampiran tapak rumah mereka, manakala Zaharah bersama adiknya, Rape’ah Bulat, 62, menumpang di rumah saudara.
“Saya rasa sangat gembira dapat rumah baharu. Sebelum ini risau juga menumpang di rumah saudara, adik-beradik lelaki tinggal dalam khemah.
"Kami rindu kerana tidak dapat berkumpul bersama. Sekarang saya rasa sangat gembira kerana dapat bersatu semula dan menyambut Aidilfitri bersama di rumah baharu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada keluarga itu di Bukit Palah pada Isnin.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.
Mohd Ridhwan berkata, pembinaan rumah tersebut dibiayai oleh DMDI dengan peruntukan sebanyak RM60,000 dan berjaya disiapkan dalam tempoh hanya 16 hari.
Menurutnya, projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat kontraktor yang menawarkan harga pembinaan lebih rendah berbanding kos asal RM90,000 sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
**media[3457713]**
“DMDI terpanggil untuk membantu selepas melihat usaha yang dilakukan oleh ADUN kawasan, Kalsom bersama masyarakat kampung yang bergotong-royong membersihkan kawasan rumah ini.
“Kami juga dimaklumkan rumah asal mereka terpaksa dirobohkan kerana tidak selamat diduduki dan sepanjang tempoh pembinaan, enam beradik ini terpaksa tinggal di bawah khemah hampir sebulan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan menyiapkan rumah tersebut dalam masa singkat amat bermakna kerana ia memberi tempat perlindungan lebih selesa kepada keluarga berkenaan menjelang Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba.
Tambahnya, projek itu merupakan program pertama seumpamanya dilaksanakan oleh DMDI yang menyasarkan golongan memerlukan, khususnya apabila melibatkan enam individu OKU dalam sebuah keluarga.
Sementara itu, Kalsom memaklumkan keluarga berkenaan sebelum ini mendapat perhatian masyarakat setempat dari segi kebajikan kerana keadaan mereka yang serba kekurangan.
Beliau berkata, mereka sebelum ini memperoleh pendapatan dengan mengumpul barangan kitar semula dan setiap mereka turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
**media[3457711]**
“Pada peringkat awal, saya ada berbincang dengan JKM untuk menempatkan mereka di Pusat Pemulihan JKM seperti di Villa Harapan atau di Cheng.
“Namun dalam masa perancangan itu dibuat, pihak DMDI tampil membantu dan bersedia membina sebuah rumah yang jauh lebih selesa untuk mereka,” katanya.
Walaupun gembira adik-beradik itu mendapat rumah selesa, namun beliau berharap masyarakat setempat khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat memantau keadaan rumah tersebut agar sentiasa bersih dan terurus.
Ini kerana katanya, sebelum ini operasi pembersihan besar-besaran pernah dilakukan di kawasan rumah lama mereka apabila kira-kira 15 tong ‘roro’ digunakan untuk mengangkut barangan lusuh yang dikumpulkan.
“Harapan kita mereka tidak kembali kepada keadaan lama dengan mengumpul terlalu banyak barang lusuh hingga menyebabkan kawasan rumah tidak terurus,” katanya.

