Enam beranak terperangkap banjir, rayu diselamatkan segera

LocalEnvironment
28 Nov 2024 • 11:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Enam beranak merayu di media sosial agar diselamatkan segera selepas kediaman mereka di kawasan perumahan murah belakang pasar raya Pantai Timur di Rantau panjang dinaiki banjir sejak awal pagi Khamis.

image is not available
Air naik secara mendadak ke dalam rumah mangsa sejak jam 3 pagi tadi.

image is not available
Anak-anak Siti Farah Zulaika duduk di atas katil dengan paras air semakin naik.

RANTAU PANJANG - Enam beranak merayu di media sosial agar diselamatkan segera selepas kediaman mereka di kawasan perumahan murah belakang pasar raya Pantai Timur di sini dinaiki banjir sejak awal pagi Khamis.

Siti Farah Zulaika Ibrahim, 32, berkata, dia bersama tiga anak dan ibu bapanya kini terperangkap dengan paras air mencecah 0.4 meter di dalam rumah.

"Air naik secara mendadak dan masuk ke dalam rumah sejak jam 3 pagi tadi. Paras air di dalam rumah mencecah 0.4 meter.

"Saya tidak dapat keluar untuk menyelamatkan diri kerana air terlalu deras, lagipun suami tiada di rumah. Suami dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur, namun terperangkap di Kampung Padang Licin selepas jalan Pekan Rantau Panjang ditenggelami banjir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Siti Farah Zulaika memuat naik hantaran itu di laman sosial Facebook untuk meminta bantuan orang ramai membawanya keluar ke tempat selamat dengan kadar segera.

Menurutnya, mereka terpaksa memohon bantuan kerana paras air di luar rumah melebihi 1.2 meter dengan arus yang deras.

"Kedua-dua ibu bapa sudah tidak mampu untuk mengharungi banjir bagi menyelamatkan diri kerana faktor usia. Anak-anak pula duduk di atas katil walaupun paras air semakin naik.

"Saya berharap kami semua dapat diselamatkan dengan segera," rayunya.