
REZEKI tak salah alamat. Baru berusia 22 tahun, Zarif Ghazzi diberi tanggungjawab menggalas peranan utama dalam naskhah KUDRAT 1968: High Council.
Peranan utama merupakan tugas paling kritikal dalam menggerakkan sesebuah jalan cerita agar penonton terus melekat sehingga ke penghujung dan perkara itulah yang menjadi titik fokal pemilik nama lengkap Zarif Farahi Effie Ghazzi.
Tidak mahu melepaskan peluang emas membawakan watak penting dalam francais popular tersebut, dia mengambil langkah mengkaji watak Abbas dengan sangat teliti agar persembahannya tidak berlebihan mahupun terkurang.
“Selepas saya dapat watak Abbas saya tahu karakter ini memang 98 peratus bukan saya. Bagi menghidupkan watak ini saya dibantu ramai orang.
“Saya perlu membaca skrip daripada episod satu sampai empat serta skrip filem, saya nak tengok cara macam mana Abbas bergerak. Sekecil-kecil perincian Abbas lakukan, saya perlu jadi seperti dia.
“Kalau tanya mana kesusahannya, sebenarnya semua. Lakonan saya dalam KUDRAT 1968: High Council bagaikan berjalan di atas satu titi yang sangat kecil.
“Kalau terlebih memberi emosi, saya boleh terjatuh ataupun terkurang, saya akan jatuh juga,” katanya kepada HibGlam.
Disoal sama ada watak utama memberikan tekanan, anak jati Johor itu mengakui wujud perasaan tersebut memandangkan francais High Council mempunyai peminat yang ramai dan meletakkan ekspektasi tinggi.
“Sudah semestinya memberikan tekanan sebab pertama sekali saya tahu ini adalah rezeki yang datang dengan tanggungjawab yang sangat berat.
“Kita semua tahu francais ini sangat kuat dan besar. Jadi bila saya dapat tahu dapat watak Abbas banyak perkara saya buat.
“Di set itu saya memang jadi rendah diri, ambil semua ilmu yang ada. Saya serap ilmu mereka untuk membantu saya dalam membawa watak Abbas,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Zarif turut menjawab persoalan sama ada tercabar dengan pelakon Mierul Aiman yang sinonim dengan naskhah terbabit sebelum ini.
Tegasnya, perasaan sebegitu tidak pernah wujud kerana dia sendiri banyak menuntut ilmu daripada Mierul yang dianggap sebagai idolanya.
“Itu saya tak boleh tutup atau hak penonton itu sendiri. Di set, saya sedikit pun tak ada rasa sekelumit tercabar dengan lakonan Mierul sebab dia figura yang saya idolakan juga.
“Dia juga sangat membantu saya dari segi lakonan. Jadi kalau perbandingan, saya rasa memang saya tahu saya di mana.
“Saya pandang dia sangat tinggi, jadi saya tak ada masalah pun dengan pandangan orang. Kalau orang cakap Mierul lagi bagus daripada saya, itu memang betul sebab saya masih baru dalam industri,” jelasnya.

Banyak tolak tawaran
Sebelum mengakhiri perbualan, pelakon drama Seribu Tahun itu mendedahkan pernah menolak beberapa tawaran kerja bagi menumpukan tumpuan kepada KUDRAT 1968: High Council.
“Ada banyak (tolak tawaran). Kebanyakan yang saya tolak disebabkan badan saya waktu itu terlalu kurus untuk menjadi hero.
“Jadi saya terpaksa tolak dan sedikit sebanyak menganggu mental saya sebab enam bulan roh, otak, badan dan cara saya bercakap semuanya untuk Abbas.
“Saya tak nak kacau atau mengganggu sedikit pun projek KUDRAT 1968: High Council dari segi mental dan fizikal,” tutupnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Enam bulan roh, otak, badan saya semuanya untuk Abbas’ appeared first on Kosmo Online.

