
PETALING JAYA: Enam kawasan di Sarawak merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat pukul 1 tengah hari ini dengan IPD Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 287.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, lima kawasan lain ialah Kuching dengan bacaan IPU 267, Sri Aman (251), Samarahan (242), Samalaju (202) dan Bintulu (201).
“Secara keseluruhan, sebanyak 25 kawasan di seluruh negara berada pada tahap tidak sihat, manakala 26 kawasan mencatatkan tahap sederhana dan 11 kawasan pada tahap baik.
“Antara kawasan yang merekodkan tahap tidak sihat ialah Nilai (154), Seremban (151), Alor Gajah (152), Bukit Rambai (157), Segamat (155), Batu Pahat (157), Kluang (153), Larkin (154), Pasir Gudang (141), Kota Tinggi (106), Rompin (126) dan Balok Baru Kuantan (151),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JAS, antara kawasan lain yang turut mencatatkan tahap tidak sihat ialah Kota Kinabalu (155), Kimanis (168), Labuan (168), Limbang (160), ILP Miri (189), Miri (182), Mukah (188), Kapit (151), Sibu (172), Sarikei (179), Tangkak (156), Johan Setia (157) dan Politeknik Kota Kinabalu (156).
Katanya, keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian rantau selatan ASEAN.
“Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, sebanyak 139 titik panas dikesan di Kalimantan dan 138 di Sumatera, manakala 16 titik panas direkodkan di Malaysia membabitkan lima di Sabah, sembilan di Sarawak dan dua di Terengganu.
“ASMC turut melaporkan jerebu sederhana hingga tebal dikesan bergerak ke arah timur laut dari Kalimantan menuju beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Brunei.
“Susulan keadaan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) sedang memantau situasi jerebu di seluruh negeri, khususnya bacaan IPU di Serian,” katanya.
Menurut JAS, pihaknya turut menyediakan laporan trend kualiti udara di Serian setiap jam kepada SDMC selain meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan berisiko termasuk hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian, perladangan dan perindustrian.
“Sebarang sumber pembakaran terbuka atau pencemaran yang dikenal pasti akan disiasat dan tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan tegas mengikut peruntukan undang-undang serta bidang kuasa JAS,” katanya.
Dalam pada itu, JAS berkata, Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) menetapkan aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup sekiranya bacaan melebihi 200.
“Operasi Pembenihan Awan pula boleh dilaksanakan, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca sesuai, sekiranya IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
“JAS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pembakaran terbuka yang dikenal pasti berpunca daripada aktiviti manusia, khususnya sekiranya menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
“Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN
The post Enam kawasan di Sarawak catat IPU sangat tidak sihat appeared first on Utusan Malaysia.






