
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk terus memperkukuh perundangan dan polisi perancangan bandar menerusi fokus terhadap enam kriteria pembangunan.
Menterinya Nga Kor Ming berkata KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) akan memberi penekanan kepada keterhubungan kejiranan; perancangan perbandaran lestari; ruang lapang pelbagai saiz; kebolehtelapan visual sebagai keselamatan pasif; penyesuaian tenaga boleh diperbaharui dan komuniti lestari.
Beliau berkata perkara berkenaan memerlukan penggemblengan tenaga dan usaha sama yang berterusan dengan pelbagai pihak termasuk pakar tempatan bagi memantapkan lagi kualiti perancangan pembangunan bandar selain menjadi platform perkongsian pengalaman serta perbincangan dasar-dasar perancangan pembangunan negara.
“Ia juga diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama strategik dan sebagai asas dalam penyediaan Panduan Pelaksanaan Perundangan, Dasar, Polisi dan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Bandar.
“Selain daripada perkongsian kepakaran perumahan luar negara seperti Housing & Development Board, KPKT juga bersedia menerima pandangan dan perkongsian ilmu daripada pakar-pakar perumahan dalam negara seperti Desa ParkCity yang telah memenangi lebih 30 anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Nga bersama pengurusan tertinggi kementerian telah mengadakan lawatan kerja ke Desa ParkCity di sini bagi perkongsian mengenai amalan terbaik perancangan pembangunan bandar.
Nga berkata KPKT sentiasa bersedia mencari ruang dan peluang dengan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang dari dalam dan luar negara demi manfaat kepada rakyat.
Tambahnya, pengurusan dan perancangan bandar yang berdaya huni perlu dilengkapi dengan penyediaan infrastruktur dan fasiliti yang holistik dengan mementingkan aspek kemudahsampaian, kesalinghubungan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
“Lebih banyak sesi libat urus dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak bagi mendukung hasrat KPKT dalam membuat perancangan secara lebih menyeluruh, berfokus dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Para pemaju juga perlu memainkan peranan dalam membangunkan perbandaran yang mesra komuniti khususnya bagi penyediaan perumahan mampu milik di lokasi yang strategik,” katanya. -Bernama

