Enam lelaki didakwa culik ahli perniagaan minta tebusan RM8 juta

27 Jul 2026 • 11:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam lelaki didakwa culik ahli perniagaan minta tebusan RM8 juta
Enam lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin.

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan dengan niat meminta wang tebusan sebanyak RM8 juta, dua minggu lalu.

Mereka ialah tiga pemilik pusat cuci kenderaan, A Ravichandran, 45, R Elanggovan, 45, dan M Jeyaraj, 43; peniaga minyak terpakai, Moses De Britto John Patrick, 40; Ziyauddin, 33; serta pemandu e-hailing, Muhammad Afiq Safine.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama tujuh individu yang masih bebas, menculik seorang ahli perniagaan, Chui Kok Mun, 44, dengan niat meminta wang tebusan RM8 juta di sebuah restoran nasi kandar di Dataran Sunway di sini jam 5.15 petang, 16 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh.

"Mereka dituduh atas kesalahan yang tidak boleh dijamin malah saya mohon mahkamah mengambil kira amaun tebusan yang tinggi dalam kes ini, mencecah RM8 juta," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Kailash Sharma yang mewakili tertuduh pertama hingga ketiga, memohon mahkamah memberikan ikat jamin pada kadar minimum.

"Ravichandran dan Elanggovan masing-masing perlu menyara isteri serta tiga anak sementara Jeyaraj menanggung isteri dan dua anak," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Datin Raj Preet Kaur.

Tertuduh keempat, Moses De Britto, yang diwakili peguam Vinesh Segar dan T Daneish turut memohon jaminan dengan alasan anak guam mereka mempunyai tanggungan isteri dan dua anak berusia 11 dan sembilan tahun.

Daneish berhujah bahawa pindaan hukuman di bawah akta itu daripada hukuman mati atau penjara seumur hidup kepada hukuman penjara menunjukkan bahawa mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan ikat jamin kepada tertuduh.

Tertuduh kelima dan keenam, Ziyauddin dan Muhammad Afiq yang tidak diwakili peguam, merayu diberikan jaminan atas alasan mempunyai anak yang masih kecil.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syahliza tidak membenarkan semua tertuduh dikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes dan lantikan peguam pada 11 September depan.

Media sebelum ini melaporkan, pihak polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang menjadi mangsa culik dalam tempoh 24 jam selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan jutaan ringgit.

Mangsa diselamatkan menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah unit kediaman di Shah Alam jam 1 pagi pada 17 Julai lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved