
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu disyaki mengemukakan tuntutan bayaran palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan sekolah di sekitar Selangor.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 57 tahun itu ditahan dalam tiga operasi berasingan bermula kira-kira jam 5 petang hingga 12 malam.
Jelasnya, semua suspek ditahan ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor pada Rabu.
"Dalam operasi pertama, seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pemilik syarikat ditahan kerana dipercayai mengemukakan tuntutan bayaran palsu.
"Tuntutan palsu berjumlah lebih RM760,000 itu dibuat bagi kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah sekolah di Batu Arang pada tahun 2020, sedangkan kerja tersebut tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.
"Suspek ditahan kira-kira jam 11 malam di pejabat SPRM Selangor," katanya pada Khamis.
Beliau berkata, dalam operasi kedua pula, suspek berusia 41 tahun yang juga seorang kontraktor ditahan kira-kira jam 9.30 malam kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu pada 2020 berjumlah lebih RM860,000 sedangkan kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Sementara itu, empat lagi suspek ditahan dalam operasi ketiga kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM870,000 membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan sebuah sekolah di Semenyih, Selangor pada 2020 sedangkan kerja tersebut juga tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Bagaimanapun, sumber berkata, seorang suspek berusia 57 tahun yang juga pemilik syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.
"Perintah reman selama lima hari bermula 23 hingga 27 Mac ini dikeluarkan terhadap lima suspek tersebut oleh Majistret Nur Syuhada Abdullah di Mahkamah Majistret 3, Shah Alam selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

