Enam mangsa vesel karam diserah kepada pihak berkuasa Filipina

21 Mar 2025 • 2:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Enam warga Filipina yang terselamat dalam insiden vesel karam tiga hari lalu, diserahkan kembali kepada pihak berkuasa Filipina oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan sempadan Malaysia-Filipina, pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada Sandakan Port Control serta Taganak Port Control mengenai sebuah vesel karam di luar had pelabuhan Sandakan pada pukul 7.30 malam, Ahad lalu.

“Sejurus menerima maklumat, operasi menyelamat segera dilancarkan dengan penghantaran Bot Halilintar 4 ke lokasi kejadian.

“Pada pukul 9 malam, Bot Halilintar 4 tiba dan menyelamatkan enam mangsa, terdiri daripada lima dewasa dan seorang kanak-kanak, berusia antara 11 hingga 45 tahun, kesemuanya warga Filipina,” katanya.

Mangsa-mangsa tersebut dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada pukul 11.30 malam untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.

Selepas perbincangan dua hala, Maritim Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina, termasuk Pengawal Pantai Filipina dan Pegawai Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Perbandaran (MDRRMO), untuk menyerahkan mangsa di perairan sempadan dengan diiringi aset kedua-dua negara.

Penyerahan mangsa dilaksanakan pada pukul 10.30 pagi Isnin di sempadan Malaysia-Filipina, disaksikan oleh Naib Datuk Bandar Suraida B. Ibnusali.

Kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan diambil alih oleh pihak berkuasa Filipina.

Muhamad Suhairy berkata Maritim Malaysia tetap komited untuk memastikan keselamatan maritim dan menggesa komuniti pesisir pantai serta para pelaut untuk berhati-hati semasa cuaca buruk dan sentiasa waspada amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.