Enam maut, kemalangan babit tiga kenderaan di Lebuhraya PLUS

LocalCars
23 Dec 2024 • 11:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat salah seorang mangsa bergelimpangan di atas jalan dalam kemalangan di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara pada malam Isnin.

image is not available
Keadaan bas persiaran yang terlibat kemalangan dengan sebuah lori dan MPV di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara pada malam Isnin.

image is not available
Enam orang dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara malam Isnin.

ALOR GAJAH - Enam dilaporkan maut setakat ini dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204.0 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada Isnin.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu melibatkan sebuah bas persiaran, treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.

Difahamkan identiti semua masing masih belum dapat dikenal pasti.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 8.45 malam dan sampai ke lokasi jam 8.56 malam.

"Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah Toyota Estima yang membawa lapan penumpang yang lima daripadanya telah disahkan meninggal dunia.

"Sebuah lagi bas persiaran membawa 27 penumpang dengan dua pemandu yang mana salah seorang daripadanya juga telah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, terdapat dua penumpang di dalam treler yang terlibat dalam kemalangan itu, namun statusnya masih belum dikenal pasti kerana dalam proses dikeluarkan.

Tambahnya, kerja-kerja menyelamat masih sedang dilakukan dan kejadian itu turut menyebabkan berlaku kesesakan lebih dua kilometer di kedua-dua arah.