Enam Pegawai Puspakom Digantung Tugas Serta-Merta, Terlibat Sindiket

LocalPolitics
8 Jan 2025 • 12:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Enam pegawai pemeriksan kenderaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah digantung tugas selepas disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan kenderaan berat secara tidak sah. Tindakan tegas ini diambil oleh pihak Puspakom sebagai langkah memastikan integriti operasi pemeriksaan tidak tercemar.

Tindakan Tegas Terhadap Salah Laku

image is not available

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku, terutamanya yang melibatkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan.

"Seperti yang sudah berkali-kali saya tegaskan, Puspakom tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah rasuah. Sekiranya terdapat bukti kesalahan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat dalam kegiatan seperti ini,” katanya.

Siasatan Dalaman & Jaminan Ketelusan

Mahmood turut memaklumkan bahawa Puspakom sedang menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dan memberi jaminan untuk menyerahkan mana-mana individu yang terbukti bersalah kepada pihak berkuasa.

"Puspakom tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit dengan jenayah rasuah," ujarnya.

Laporan SPRM dan Tangkapan Susulan

image is not available

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan lapan individu telah ditahan, termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan Puspakom. Mereka disyaki terbabit dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Azam turut menyatakan bahawa enam pegawai tersebut telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas memberikan keterangan. Sementara itu, dua individu lain, dipercayai runner yang dilantik oleh kumpulan tersebut, direman selama lima hari bermula semalam hingga Sabtu ini.

Sumber: Bernama