Enam rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

22 Sep 2022 • 1:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Enam rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Sundu, Batu 2 Jalan Apas pada Rabu.

Dalam insiden sekitar jam 9.30 pagi itu, sebuah masjid dan kereta Proton Saga turut terjejas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr, berkata dua rumah berkeluasan 50 x 40 musnah sepenuhnya dalam insiden itu, manakala, empat rumah berkeluasan 50 x 40 terbakar 30 peratus.

“Masjid Al Munawarah di lokasi tersebut turut terbakar 13 peratus dan sebuah teksi jenis Proton Saga terbakar 10 peratus,” katanya.

Menurut Julius, sepasukan 17 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.37 pagi.

Menurutnya, api dapat dikawal pada jam 9.57 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 11.10 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun terdapat seorang mangsa pengsan dalam kejadian tersebut dan dikejarkan ke hospital Tawau oleh polis, katanya. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi itu turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew, bergegas ke lokasi selepas diberitahu mengenai insiden itu selepas merasmikan program saringan kesihatan Peka B40 di Dewan Masyarakat di sini.

Liew, yang sempat bercakap dengan salah seorang ahli keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian itu berkata beliau diberitahu bahawa kebakaran itu mungkin dicetuskan oleh kanak-kanak yang bermain mancis, dan merebak ke rumah lain.

Bercakap kepada pemberita, Liew berkata beliau menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum memutuskan bentuk bantuan untuk mangsa kebakaran terbabit.

“Pegawai perhubungan saya di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau akan memantau perkara ini,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.