enanga Futures lancar “Futures Awaken” bantu pelabur baharu kuasai strategi niaga hadapan

02/09/2025 - 11:15
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 2 Sept – Kenanga Futures Sdn Bhd melancarkan kempen nasional “Futures Awaken” satu inisiatif strategik untuk memperkukuh peranan instrumen niaga hadapan dalam strategi kewangan untuk generasi pelabur baharu di Malaysia.
Ia bertujuan membantu pelabur baharu mengukuhkan strategi kewangan dan mentakrifkan semula konsep niaga hadapan sebagai peralatan lindung nilai dan pengurusan risiko yang penting susulan ketidakstabilan ekonomi global yang berpanjangan ketika ini.
Kempen yang berlangsung sehingga 30 November 2025 itu menekankan kedudukan Malaysia sebagai hab penting dalam pasaran derivatif serantau dengan menampilkan produk Bursa Malaysia Derivatives (BMD) yang kian dinamik sebagai pintu masuk kepada peluang pelaburan baharu.
Menurut Kenanga Futures, Futures Awaken juga dirangka bersempena sambutan Hari Malaysia, sekali gus menyuntik semangat nasionalisme dalam mendidik pelabur untuk memanfaatkan instrumen derivatif bukan sahaja sebagai peluang pelaburan, malah sebagai mekanisme perlindungan risiko yang penting dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Komitmen Membina Generasi Baharu Pelabur Derivatif
Ketua Pegawai Eksekutif/ Pengarah Eksekutif & Ketua Derivatif Tersenarai Kenanga Futures, Azila Abdul Aziz berkata, kempen itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membina komuniti pelabur derivatif pintar menerusi inovasi, pendidikan serta pengalaman pembelajaran digital yang teratur.
“Kempen Futures Awaken menyemarakkan semangat Hari Malaysia dengan melengkapkan rakyat Malaysia dengan asas kukuh dalam pelaburan niaga hadapan dan membawa mereka ke tahap seterusnya.
“Generasi Alfa kini lebih terbuka kepada teknologi penggugat termasuk pembelajaran mesin dan AI.
“Oleh itu, persekitaran derivatif kini ditakrifkan semula dengan cara yang lebih moden, sekali gus membuka peluang pelaburan baharu dalam era digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Yuran Akaun Minimum & Ganjaran Menarik
Sepanjang tempoh kempen, yuran pembukaan akaun diturunkan kepada hanya RM10.
Pelanggan baharu yang membuka akaun dan berdagang sekurang-kurangnya 10 kontrak BMD layak menerima baucar e-beli belah RM100.
Selain itu, 20 pedagang terbaik yang mencatat lebih 500 kontrak BMD akan menerima baucar bernilai RM300.
Tambahnya, Kenanga Futures berharap insentif itu dapat menggalakkan lebih ramai pelabur muda untuk menceburi pasaran derivatif dengan kos permulaan yang rendah.
Fokus Pendidikan & Literasi Kewangan
Antara tarikan utama kempen ialah modul pembelajaran digital, seminar interaktif dan bengkel yang dirangka khusus untuk meningkatkan tahap literasi kewangan pelabur baharu.
Inisiatif ini menyasarkan generasi muda Malaysia yang kini merangkumi 25% populasi negara, agar mereka lebih bersedia merancang masa depan kewangan dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah.
Selain itu, Kenanga Futures turut merancang memperluas inisiatif pendidikan ini dengan modul pembelajaran lebih canggih, kolaborasi bersama pakar industri, serta program kesedaran komuniti secara berterusan. - DagangNews.com
standard



