Enggan Gugur Kes Ira Kazar, Minta Diskaun Nafkah Anak - Punca Puteri Sarah, Syamsul Yusof Tak Jadi Bercerai

18 Apr 2023 • 1:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Puteri Sarah bercakap dengan media di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. - Gambar oleh Azim Rahman

Enggan menggugurkan kes saman keluarga Ira Kazar serta minta diskaun nafkah anak antara punca kenapa Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof tak jadi bercerai hari ini. Kedua-dua mereka gagal mencapai persetujuan sewaktu proses sulh yang berlangsung pagi tadi.

Menurut Puteri Sarah pada mulanya mereka telah mencapai kata persetujuan. Namun tiba-tiba Syamsul meminta untuk menarik balik kes saman terhadap keluarga Ira Kazar.

“Saya tak akan tarik kes! Untuk apa saya berjuang selama ini? Kenapa saya nak gugurkan kes? Kes saya dengan Syamsul lain, dengan mereka lain. Tak boleh campur adukkan.

“Yang kedua, dia minta diskaun untuk tuntutan nafkah anak. Saya tak mahu beritahu berapa jumlah yang sebenar tetapi saya yakin dia (Syamsul) mampu untuk bayar.

“Dia yang tawarkan nilai itu. Tetapi dia pula yang minta diskaun. Anak-anak bukan untuk boleh didiskaunkan,” katanya sewaktu ditemui pihak media di luar mahkamah.

Tambah Puteri Sarah lagi, sebelum ini dia tidak pernah menuntut harta sepencarian. Apa yang dituntutnya hanyalah untuk anak-anak. Namun selepas apa yang berlaku hari ini, dia akan memfailkan tuntutan harta sepencarian.

Ditanya adakah dia tidak penat kerana kes ini masih berlarutan, kata Puteri Sarah dia akan terus berjuang demi anak-anak.

image is not available
Syamsul Yusof

“Saya percaya ada hakam. Saya percaya saya dipihak yang benar. Saya berjuang untuk diri saya dan anak-anak. Dan saya percaya seluruh Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei mendoakan saya dan anak-anak,” katanya

Sementara itu peguam syarie, Mohd Azmi Rais yang mewakili Syamsul memaklumkan Puteri Sarah telah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan tersebut.

“Bila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan antaranya plaintif (Puteri Sarah) masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya. Sarah juga meminta jumlah mutaah yang tinggi yang tidak dapat dipersetujui oleh defendan (Syamsul),” ujarnya.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah telah menetapkan hari ini untuk Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 38, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah menetapkan prosiding lafaz cerai itu dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian. Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada hari ini yang mana ia akan direkodkan.

Antara terma-terma penyelesaian yang dipersetujui ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding dijangka akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei ini, untuk sebutan semula kes selain laporan JKP yang telah disempurnakan kedua-dua belah pihak. - Getaran, 18 April 2023