Enlace Suites II dibangun dengan GDV RM389.3 juta

Business & Finance
10 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Enlace Suites II dibangun dengan GDV RM389.3 juta

IJM Land Berhad (IJM Land) dan Amona Group melancarkan Enlace Suites II, projek kediaman terbaharu dalam pembangunan Pantai Sentral Park dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM389.3 juta dan dijangka siap pada 2029.

Pelancaran itu susulan sambutan menggalakkan terhadap Enlace Suites I yang merekodkan kadar pengambilan 70 peratus sejak dilancarkan tahun lalu dengan semua unit bukan bumiputera telah habis dijual.

Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad, Datuk Tony Ling Thou Lung berkata, Enlace Suites II yang terletak dalam pembangunan induk Pantai Sentral Park seluas 23.47 hektar itu mengetengahkan konsep kehidupan bandar yang menggabungkan kediaman moden dengan akses kepada alam semula jadi.

Katanya, pembangunan berkenaan turut bersempadan dengan Taman Rimba Bukit Kerinchi seluas 101.98 hektar, antara kawasan hijau yang masih kekal di Kuala Lumpur.

“Taman Bandar di Taman Rimba Bukit Kerinchi yang dibangunkan IJM Land akan menjadi pintu masuk ke kawasan hutan berkenaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

“Respons terhadap Enlace Suites I merupakan pengesahan kukuh terhadap perkara yang dicari pembeli rumah hari ini. Mereka tidak lagi memilih kediaman semata-mata berdasarkan lokasi, sebaliknya turut mengambil kira kualiti hidup secara keseluruhan.

“Pembeli semakin menghargai pembangunan yang menggabungkan kesalinghubungan yang baik, kemudahan bersepadu dan akses kepada alam semula jadi,” katanya.

Enlace Suites II terletak dalam Enlace, kawasan gaya hidup Pantai Sentral Park yang menggabungkan komponen kediaman, peruncitan, pejabat butik, kemudahan kesejahteraan dan ruang awam.

Antara kemudahan yang tersedia ialah Enlace Shoppes, hab gaya hidup dan peruncitan yang menawarkan kemudahan harian iaitu Enlace Co., dua menara pejabat yang menyediakan ruang kerja fleksibel serta Enlace Retreat, pusat kesejahteraan untuk aktiviti bersantai dan rekreasi.

Enlace Shoppes pula disasarkan beroperasi menjelang 2029 dengan 25 peratus ruang penyewaannya telah ditempah.

Beliau berkata, Pantai Sentral Park turut dilengkapi laluan mesra pejalan kaki, lorong basikal khusus dan laluan pejalan kaki berlandskap yang menghubungkan komponen kediaman, komersial dan rekreasi dalam pembangunan berkenaan.

“Pembangunan ini juga terletak antara Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Bangsar serta dihubungkan dengan laluan utama termasuk Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).

“Ia turut mendapat manfaat daripada pembangunan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Pantai Dalam yang terletak kira-kira 260 meter dari kawasan berkenaan dan boleh diakses melalui jambatan penghubung khusus.

“Enlace Suites II menawarkan 290 unit berkepadatan rendah yang dilengkapi sepenuhnya atau separa berperabot, dengan keluasan antara kira-kira 506 kaki persegi hingga 2,034 kaki persegi.

“Unit ini disasarkan kepada pembeli rumah kali pertama, golongan profesional muda, keluarga yang sedang berkembang dan keluarga pelbagai generasi,” jelasnya.

Beberapa unit taman dan kediaman atas bumbung turut ditawarkan dengan keluasan serta susun atur yang memberikan fleksibiliti gaya kediaman bertanah dalam pembangunan bertingkat tinggi.

Antara kemudahan utama Enlace Suites II ialah kolam renang sepanjang 50 meter yang dikelilingi landskap menghijau, kolam ikan koi, laluan taman dan ruang bersantai berbumbung.

Ia turut dilengkapi kolam kanak-kanak, jakuzi, kolam rendam, taman buaian serta ruang kolam berbentuk gua bagi aktiviti rekreasi dan keluarga.

Bagi aspek keselamatan, penduduk akan melalui pintu masuk utama khusus yang dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) berkuasa kecerdasan buatan (AI), diikuti kawasan menurunkan penumpang dan lobi persendirian.

Beliau berkata, kejayaan Enlace Suites I mencerminkan keyakinan pembeli terhadap potensi Pantai Sentral Park sebagai pembangunan bersepadu di Kuala Lumpur.

“Menerusi Enlace Suites II, IJM Land meneruskan penawaran kediaman di Pantai Sentral Park dengan memberi tumpuan kepada elemen kesalinghubungan, gaya hidup, kesejahteraan dan alam semula jadi.

“Pembeli berpotensi boleh mengunjungi Galeri IJM Land Centre of Excellence (I.C.E.) di Pantai Sentral Park untuk melihat unit pameran serta mendapatkan maklumat mengenai pakej promosi yang ditawarkan bagi tempoh terhad,” ujarnya. – UTUSAN

The post Enlace Suites II dibangun dengan GDV RM389.3 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved