Enovix buka fasiliti volum tinggi pertama di Malaysia, komited labur AS$1.2 bilion dalam tempoh 15 tahun

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2024 • 3:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Enovix buka fasiliti volum tinggi pertama di Malaysia, komited labur AS$1.2 bilion dalam tempoh 15 tahun

herman

08/08/2024 - 15:32

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Enovix Corporation telah membuka kemudahan pembuatan volum tinggi pertamanya (Fab2) di Malaysia dan merancang untuk melabur AS$1.2 bilion atau RM5.8 bilion di negara ini dalam tempoh 15 tahun.

Kemudahan itu menghasilkan bateri berketumpatan tenaga tinggi dan kini menarik minat daripada pelanggan global terkemuka.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Fab2 Enovix adalah langkah besar bagi Malaysia dalam rantaian bekalan global untuk teknologi bateri termaju, menonjolkan landskap pelaburan negara yang kondusif.

“Ia juga memenuhi objektif kami untuk menarik industri berteknologi tinggi yang betul untuk meningkatkan keelbagaian ekonomi negara, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

"Kami mengalu-alukan kemudahan baharu ini, yang merupakan pencapaian penting bagi Enovix, dan menyokong kuat matlamat NIMP kami dengan memupuk inovasi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, dan memacu pertumbuhan yang mampan, sambil semakin meletakkan Malaysia sebagai hab global bagi teknologi canggih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, kemudahan itu menandakan permulaan babak yang menarik untuk Enovix.

Beliau menambah, ia akan membawa limpahan teknologi dan ekonomi bukan sahaja untuk Pulau Pinang tetapi wilayah utara Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaburan besar Enovix di sini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keupayaan teknologi tenaga kerja negara.

"MIDA berbangga untuk menyokong Enovix dalam misi mereka untuk merevolusikan teknologi bateri, dan kami percaya bahawa kepakaran termaju mereka akan memberi kesan berganda kepada ekosistem tempatan kami," ujarnya.

Ketua Pegawai Operasi Enovix Datuk Ajay Marathe berkata Fab2 mempamerkan proses pembuatan termaju syarikat untuk bateri termaju yang dipercayai akan membawa kepada era baharu produk untuk pelanggan terkemuka.

"Kami telah dapat memanfaatkan kumpulan bakat teknikal Malaysia yang mendalam dan menghargai iklim mesra perniagaan negara dan berdekatan dengan pelanggan dan vendor kami," katanya.

Enovix, yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, juga beroperasi di India, Korea dan Malaysia.

Teknologi baterinya digunakan merentasi pelbagai aplikasi, termasuk Internet of things, telefon bimbit, peranti pengkomputeran dan kenderaan. - DagangNews.com