Enproserve meterai taja jamin, sasar disenaraikan di Pasaran ACE pada 3Q25

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2025 • 3:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Enproserve meterai taja jamin, sasar disenaraikan di Pasaran ACE pada 3Q25

image is not available

03/06/2025 - 15:12

(Dari kiri ke kanan) : Ketua Pegawai Eksekutif Enproserve Group Bhd, Mohd Nizam Yaakub, Pengarah Urusan Kumpulan, Azman Yusof, dan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Hashim Majid, serta Ketua Pegawai Eksekutif KAF Investment Bank Bhd, Rohaizad Ismail, dan Pengarah Kewangan Korporat, Azmi Hariss Ibrahim. Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 3 Jun — Enproserve Group Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank Bhd bagi penyenaraian 210 juta saham terbitan awam di Pasaran ACE Bursa Malaysia, yang disasarkan berlangsung pada suku ketiga 2025 (3Q25).

Pengarah Urusan Kumpulan, Azman Yusof berkata, peyenaraian itu adalah langkah penting dalam pelan pengembangan syarikat untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti dalam merebut peluang pertumbuhan pasaran.

Beribu pejabat di Selangor, Enproserve menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan loji dan henti tugas (PMT) serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

Syarikat itu turut menyewa peralatan pengangkat berat dan kenderaan industri.

IPO Enproserve turut melibatkan tawaran untuk jualan 105 juta saham sedia ada milik Azman yang juga pemegang saham tunggal dan harga tawaran akan diumumkan kemudian.

Daripada jumlah keseluruhan saham, 139.2 juta saham diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, manakala 52.5 juta saham ditawarkan kepada orang awam Malaysia.

Sebanyak 18.3 juta saham pula diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan penyumbang kepada kumpulan.

Menurut dokumen penyenaraian yang difailkan 2024, dana IPO akan digunakan bagi pembelian mesin dan peralatan baharu serta pembangunan kemudahan pusat penyimpanan dan penyelenggaraan kren di Paka, Terengganu.

Dana itu juga akan diguna untuk modal kerja, bayaran balik pinjaman bank, dan perbelanjaan penyenaraian.

KAF Investment Bank bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

Sebagai contoh, KAF Investment Bank Bhd telah bertindak sebagai penaja jamin bagi beberapa syarikat yang ingin disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, termasuk Enproserve Group Bhd.- DagangNews.com

standard