EP Manufacturing meterai MoU pengeluaran kenderaan BAIC di Malaysia
diyana
01/08/2023 - 17:54
KUALA LUMPUR 1 Ogos - EP Manufacturing Bhd (EPMB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan BAIC International Development Co., Ltd (BAIC International) untuk pengeluaran tempatan kenderaan firma automotif China tersebut.
Dalam satu kenyataan media hari ini, EPMB berkata MoU tersebut melibatkan pengeluaran tempatan kenderaan utiliti sukan (SUV) BAIC model BJ40P dan X55II, berserta kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) pemanduan kanan (RHB) dan kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan.
EPMB dan BAIC International juga bersetuju untuk bersama-sama membangunkan RHD EV berjenama BAIC untuk memenuhi pasaran Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain.
EPMB juga akan bertanggungjawab untuk mengeluarkan alat ganti untuk kenderaan ini di Malaysia, sejajar dengan visi kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kandungan tempatan kereta yang dipasang di Malaysia dan mengukuhkan keupayaan industri automotif.
BAIC merupakan anak syarikat BAIC Motor Corporation Ltd. dan sebahagian daripada Beijing Automotive Group Co Ltd, sebuah syarikat Fortune Global 500 dan salah satu pengeluar kereta terbesar di China.
Menurut EPMB, pembangunan pangkalan pemasangan dan pengeluaran tempatan merupakan bahagian penting dalam rancangan BAIC International untuk mewujudkan rangkaian perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk kenderaan pemanduan kanan di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EPMB berkata MoU akan bermula 31 Julai 2023 bagi tempoh tiga bulan atau sebarang tempoh lanjutan dengan persetujuan bersama.
“MoU tersebut membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk bersama-sama membangunkan jenama BAIC bagi kenderaan ICE dan EV dengan pemanduan kanan untuk memenuhi keperluan pasaran di Malaysia dan negara ASEAN yang lain.
“Ini berpotensi mewujudkan aliran pendapatan tambahan untuk Kumpulan EPMB dan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan masa depannya.
“Kerjasama ini juga sejajar dengan usaha niaga kenderaan elektrik EPMB dan cita-cita kredit karbon,” katanya mengulas rasional MoU tersebut.
Saham EPMB ditutup susut 1.5 sen atau 1.6% hari ini, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM203.8 juta. - DagangNews.com




