EPB jalin kerjasama dengan syarikat automasi China, Shenzen Honglin dan Nidec, Jepun tingkatkan teknologi pemprosesan makanan

TechnologyBusiness & Finance
22 Aug 2025 • 9:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EPB jalin kerjasama dengan syarikat automasi China, Shenzen Honglin dan Nidec, Jepun tingkatkan teknologi pemprosesan makanan

image is not available

22/08/2025 - 09:59

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos – EPB Group Bhd menjalin kerjasama dengan kumpulan teknologi pembuatan automasi, Shenzhen Honglin Machinery Equipment Co Ltd dari China bagi mengembangkan perniagaan mesin pemprosesan makanan syarikat itu di Asia Tenggara.

EPB turut mengumumkan kerjasama teknologi dengan firma motor dan teknologi, Nidec Corp dari Jepun untuk meningkatkan kecekapan operasi mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan miliknya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EPB berkata, kerjasama dengan Shenzhen Honglin melibatkan integrasi sistem robotik serta kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan tahap kecekapan, kebersihan dan ketepatan pengeluaran.

“Kesemua faktor itu kini menjadi keutamaan pengeluar serantau yang mahu menjalankan operasi dengan lebih efisien hasil kecanggihan teknologi.

“Sehubungan itu, sebuah entiti baharu akan ditubuhkan dengan nama AI Medic Device Equipment Supplies Sdn Bhd, di mana EPB akan memegang 80% pegangan manakala pemegang saham utama dan wakil sah Shenzhen Honglin, Fan Yanlin akan memiliki baki 20%,” kata EPB.

Bagi kerjasama dengan Nidec pula, EPB berkata, ia akan memberi tumpuan kepada integrasi Variable Frequency Drives (VFD) serta memanfaatkan rangkaian global Nidec bagi memastikan perkhidmatan yang boleh dipercayai kepada pelanggan.

Pengarah Urusan EPB, Yeoh Chee Min berkata, penggunaan VFD berpotensi memberi penjimatan tenaga antara 10% hingga 30% kepada pelanggan, di samping mengurangkan kos penyelenggaraan berkaitan penggantian motor menerusi tempoh hayat mesin yang lebih panjang.

“Kerjasama dengan Shenzhen Honglin meletakkan kami di barisan hadapan dalam bidang robotik dan automasi di rantau ini, manakala kerjasama dengan Nidec meningkatkan kecekapan tenaga mesin kami.

“Gandingan kolaborasi ini akan menyokong aspirasi kami untuk mengangkat industri pemprosesan makanan Asia Tenggara ke tahap piawaian global melalui kecekapan, ketepatan dan inovasi,” tambahnya. - DagangNews.com

standard