EPIC Marine perluas kerjasama dengan Velesto kukuhkan perkhidmatan sokongan di Pelabuhan Kemaman

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2025 • 10:04 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EPIC Marine perluas kerjasama dengan Velesto kukuhkan perkhidmatan sokongan di Pelabuhan Kemaman

image is not available

11/09/2025 - 10:04

Muhtar Suhaili (berdiri, tengah) menyaksikan majlis menandatangani MSA antara EPIC Marine dan Velesto di Kuala Lumpur baru-baru ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 11 Sept – Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd iaitu anak syarikat EPIC Berhad, menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) bersama Velesto Energy Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Velesto Drilling Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, kerjasama itu bukan sekadar kontrak perniagaan, sebaliknya mencerminkan keyakinan berterusan syarikat besar seperti Velesto terhadap keupayaan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan marin yang cekap dan dipercayai.

“Perjanjian ini akan menjadi asas penting dalam memperkukuh kedudukan Pelabuhan Kemaman sebagai hab strategik minyak dan gas di Pantai Timur.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk memenuhi keperluan industri melalui penyediaan perkhidmatan marin bertaraf antarabangsa. Ia juga memperkukuh peranan Pelabuhan Kemaman sebagai pintu masuk utama sokongan operasi luar pesisir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pemeteraian perjanjian itu berlangsung sempena Pameran Oil and Gas Asia (OGA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, satu permulaan penting bagi memperluaskan rangka kerjasama strategik dalam sektor marin dan perkhidmatan pelabuhan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah barisan kepimpinan EPIC Berhad dan Velesto, termasuk Kapten Mohd Kamarul Mamat; Pengurus Besar EPIC Marine, Abdul Hadi Abdul Bari; Naib Presiden Kanan Perniagaan Penggerudian Velesto; serta pegawai kanan kewangan dan operasi kedua-dua syarikat.

image is not available

Menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan membentuk kerjasama jangka panjang melibatkan perkhidmatan tambatan kapal, penempatan sementara (lay-up), kemudahan pelabuhan serta sokongan operasi luar pesisir di Pelabuhan Kemaman.

EPIC Marine selama ini memainkan peranan penting sebagai penyedia penyelesaian teknikal dan penyelenggaraan untuk kapal marin, pelantar penggerudian, FPSO dan FSO.

Malah, syarikat juga giat membangunkan sebuah loji khusus untuk mengitar semula kapal dan pelantar hijau (GSRF) di Pelabuhan Kemaman, inisiatif yang seiring dengan agenda kelestarian industri tenaga.

Muhtar berkata, dengan pelbagai kontrak strategik yang sedang berjalan, EPIC Marine kini berada pada landasan kukuh untuk memperkasa kedudukan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga serantau.

“Ini sekaligus menyokong pertumbuhan mampan industri minyak, gas dan maritim,” katanya.

Bagi Velesto pula, kerjasama dengan EPIC Marine memberi jaminan kepada kelancaran operasi penggerudian dan perkhidmatan luar pesisir, khususnya dari aspek logistik, tambatan kapal dan pengurusan pelabuhan.

Pemeteraian MSA itu akan menjadi langkah penting ke arah merealisasikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab komprehensif yang menggabungkan keupayaan minyak dan gas tradisional dengan aspirasi dalam tenaga boleh baharu dan teknologi hijau. - DagangNews.com

standard