EPIC, Pangkalan Bekalan Kemaman ke DHL Pulau Pinang perkukuh kerjasama pengurusan gudang berpusat

LocalBusiness & Finance
5 Dec 2025 • 6:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EPIC, Pangkalan Bekalan Kemaman ke DHL Pulau Pinang perkukuh kerjasama pengurusan gudang berpusat
image is not available
liza05/12/2025 - 18:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 5 Dis – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan anak syarikatnya, Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) meninjau peluang kerjasama operasi logistik dengan DHL.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Muhtar Suhaili berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan kerja Hab Logistik DHL di Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menilai potensi kerjasama tersebut.

 

“Kami berpeluang meninjau dan menilai operasi logistik DHL serta potensi kerjasama strategik dalam pengurusan pergudangan.

 

“Lawatan ini juga susulan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa East Coast Energy 2025 (ECE2025) antara EPIC dan PETRONAS Malaysia Petroleum Management (MPM).

 

“MoU tersebut bertujuan memperkukuh pengurusan pergudangan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) melalui inisiatif pengurusan gudang berpusat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

image is not available

 

Beliau berkata, sistem itu diharap dapat meningkatkan kecekapan operasi serta memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.

 

DHL, sebuah syarikat logistik dan kurier antarabangsa yang ditubuhkan pada 1969 di San Francisco, beroperasi di lebih 220 negara dan wilayah di bawah DHL Group.

 

PBKSB yang memiliki serta mengendalikan KSB dan Kuala Terengganu Support Base (KTSB), merupakan salah satu daripada 11 anak syarikat di bawah EPIC Berhad.

 

Aktiviti logistik merupakan antara tumpuan utama di KSB sebagai hab rantaian bekalan dan perkhidmatan sokongan industri di rantau ini.

 

Perniagaan pangkalan bekalan dan pangkalan sokongan merupakan teras kepada EPIC Berhad, yang menyumbang sebanyak 48% kepada hasil pendapatan kumpulan pada tahun 2024.

 

Peluang kerjasama itu juga dijangka memperkukuh kedudukan EPIC sebagai rakan logistik dan sokongan utama bagi industri minyak dan gas negara. - DagangNews.com

Terkini standard