Sejarah mencatatkan bahawa Malaysia bukanlah pemain kerdil dalam arena diplomasi keamanan serantau. Kuala Lumpur pernah melakar nama di pentas dunia apabila menjadi tuan rumah kepada Perjanjian Damai Hat Yai 1989, satu peristiwa monumental yang menamatkan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya. Tidak terhenti di situ, Malaysia juga memainkan peranan tunjang dalam proses damai di selatan Filipina, memberikan sokongan berterusan terhadap rundingan antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang akhirnya membuahkan penubuhan Wilayah Autonomi Bangsamoro.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia disegani sebagai sebuah negara yang memiliki keupayaan unik untuk ‘berbicara’ dengan semua pihak—sama ada Blok Barat, Dunia Islam, China, mahupun Selatan Global—tanpa terikat secara mutlak kepada mana-mana paksi kuasa. Inilah modal diplomatik yang dibina dengan cermat selama beberapa dekad: satu bentuk kredibiliti senyap, konsistensi pendirian, dan kebijaksanaan untuk tidak terperangkap dalam retorik kuasa besar. Dalam dunia diplomasi, kata-kata seringkali lebih tajam daripada peluru; ia membina persepsi, membentuk legitimasi, dan dalam keadaan tertentu, mencipta realiti politik yang sukar dipadamkan.
Namun, episod kesilapan komunikasi, penafian, dan dakwaan gencatan senjata yang tidak kukuh baru-baru ini mengikis aset tersebut. Apabila kenyataan rasmi negara dilihat bercanggah dengan rekod awam sendiri, kepercayaan menjadi mangsa pertama. Dalam geopolitik, kehilangan kepercayaan jauh lebih berbahaya daripada kehilangan pengaruh sementara.
Sain Dulu, Perang Kemudian
Hanya dua bulan yang lalu, Kuala Lumpur menjadi saksi kepada satu detik yang disifatkan bersejarah apabila Perjanjian Damai Oktober dimeterai dengan penuh istiadat di Sidang Kemuncak ASEAN. Perjanjian ini diangkat sebagai mercu tanda kejayaan diplomasi serantau di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX). Naratif yang dibina cukup gah: Donald Trump, tokoh yang sering menonjolkan dirinya sebagai penyelesai konflik global, dipercayai dipelawa ke Malaysia bukan sekadar untuk meraikan perjanjian tersebut, tetapi untuk melihat Thailand dan Kemboja menandatangani perjanjian damai di bawah naungan ASEAN.
Perjanjian ini tidak dinafikan mewujudkan optik politik yang sangat positif buat PMX. Beliau turut tidak melepaskan peluang untuk meraih laba politik daripadanya, termasuk berkongsi kisah bagaimana beliau dipuji dengan perkataan “fantastic” sebanyak tiga kali oleh Trump dalam satu panggilan telefon. Pada ketika itu, Malaysia kelihatan berada di puncak dunia (top of the world), namun realiti politik sentiasa mengingatkan bahawa apa yang berada dalam sanjungan hari ini, mungkin sahaja terperosok dalam kubur esok hari.
Retak Menanti Belah: Krisis Naratif dan Pendedahan Mengejut

Ironinya, persepsi kejayaan yang dibina oleh Anwar dan Trump bahawa konflik tersebut telah selesai ternyata tidak kukuh apabila konflik Thailand–Kemboja meletus semula walaupun baru dua bulan perjanjian pendamaian dimeterai di Sidang Kemucnak ASEAN Kuala Lumpur di hadapan Donal Trump, Preisden Amerika. Konflikt terbaru ini jelas memaprkan kerapuhan penyelesaian yang dibina di atas pertimbangan politik jangka pendek tanpa mengambil kira faktor nasionalisme domestik, pergerakan ketenteraan di kawasan sempadan, serta dinamika politik dalaman kedua-dua negara yang sering mengeksploitasi isu sempadan untuk sokongan rakyat.
Susulan kepada percetusan konflik terbaru ini, Malaysia di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN segera mengaktifkan semula saluran diplomasi ASEAN untuk menggalakkan rundingan dua hala Thailand–Kemboja, menegaskan prinsip non-interference, dan berusaha memastikan konflik ini tidak merebak sehingga menggugat kestabilan serantau.
Namun, apa yang pada awalnya bermula sebagai konflik dua hala antara Thailand dan Kemboja kini menjelma menjadi krisis imej diplomasi Malaysia, berikutan rentetan beberapa peristiwa yang mencetuskan persoalan terhadap keberkesanan kepimpinan dan keupayaan Kuala Lumpur mengurus konflik serantau ketika memegang peranan penting dalam ASEAN.
Apabila Kenyataan Bercanggah dengan Realiti

Permainan naratif yang mengelirukan ini bermula apabila Donald Trump mengumumkan secara terbuka bahawa Thailand dan Kemboja kononnya telah bersetuju untuk menghentikan pertempuran, malah mengucapkan terima kasih kepada PMX atas usaha beliau. Rentetan itu, PMX turut memuat naik kenyataan (rujuk hantaran Facebook PMX) bahawa beliau telah mencadangkan penghentian pertempuran bermula jam 10 malam. Ini mewujudkan ilusi kejayaan rundingan.
Namun, di sini bermulanya tamparan terus. Pada hari yang sama, Perdana Menteri Thailand secara pantas menegaskan pendirian negaranya: beliau menolak cadangan Anwar untuk menghentikan pertempuran (rujuk hantaran Facebook PM Thailand). Ini adalah tamparan langsung, mendedahkan percanggahan serius di peringkat tertinggi. Kenyataan PM Thailand secara serta-merta meranapkan naratif kejayaan yang sedang diarak oleh Kuala Lumpur dan Trump.
Situasi menjadi semakin rumit dan memalukan apabila PMX didapati terpaksa menghantar mesej kepada PM Thailand untuk menafikan bahawa dia pernah mencadangkan genjatan senjata. Dalam mesejnya, PMX mendakwa bahawa beliau hanya menyarankan supaya menghentikan provokasi baharu bermula jam 10 malam, bukan genjatan senjata penuh. PMX turut menjelaskan bahawa Thailand dan Kemboja tidak pernah bersetuju dengan apa-apa cadangan.

Ironi yang paling tajam ialah tindakan susulan PM Thailand. Tanpa segan silu, PM Thailand memuat naik mesej penafian dan penjelasan terperinci dari PMX itu ke akaun Facebook beliau untuk tatapan umum (rujuk hantaran Facebook PM Thailand).
Tindakan ini adalah satu pembenihan ketidakpercayaan yang parah. Dalam dunia diplomasi, mesej peribadi antara pemimpin tertinggi yang dihantar untuk membetulkan rekod awam tidak sepatutnya didedahkan. Tindakan PM Thailand itu jelas menunjukkan bahawa beliau tidak lagi meletakkan kepercayaan penuh terhadap kejujuran naratif dari Putrajaya.

Kekeliruan ini mencapai kemuncaknya apabila media Thailand melaporkan bahawa PMX sebenarnya tidak pernah mengemukakan cadangan genjatan senjata pun, bertentangan dengan hantaran Facebook PMX sendiri sebelum ini.
Persoalan paling pelik adalah: Kenapa PMX perlu bersungguh-sungguh menghantar mesej penafian dan penjelasan terperinci kepada PM Thailand jika semuanya jelas sejak awal?
Percanggahan demi percanggahan ini menyebabkan keraguan serius tentang ketelitian dan integriti maklumat yang disampaikan oleh pihak Malaysia.
Isyarat Awal yang Diremehkan
Kegagalan diplomasi ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya beberapa petanda awal daripada Thailand tidak dpandang sepi oleh Anwar Ibrahim dan penasihat-penasihat beliau di Putrajaya.
Bibit-bibit keretakan sudah mula kelihatan apabila seorang Jeneral Thailand telah pun menegur Anwar secara terbuka kerana dilihat melangkaui mandatnya sebagai Pengerusi ASEAN dengan mencampuri urusan dalaman konflik Thailand-Kemboja secara berlebihan. Teguran ini bukanlah suara terpencil, malah ia disusuli dengan demonstrasi jalanan oleh rakyat Thailand yang mengecam watak Anwar sebagai campur tangan asing yang tidak dialu-alukan.
Seorang pemimpin yang peka dengan nuansa geopolitik sewajarnya melihat perkembangan ini sebagai 'red flag'—satu indikasi jelas bahawa sentimen di Bangkok sedang bergolak dan sebarang perjanjian yang ditandatangani di atas rasa tidak puas hati ini bakal berdiri di atas tapak yang rapuh. Anwar terlepas peluang untuk meredakan suhu ketegangan walaupun tanda-tanda konflik bakal meletus semula sudah terpampang jelas.
Sikap memandang enteng kritikan ini tercermin melalui respon Anwar. Beliau memilih untuk memperlekehkan Jeneral tersebut secara peribadi, dengan menyatakan bahawa pengkritik itu adalah ‘nobody’ dan hanyalah individu yang kalah pilihan raya serta hilang deposit, maka suaranya tidak perlu dilayan.
Tindakan ini mencerminkan kegagalan Anwar untuk memahami elemen ego dan maskuliniti yang menebal dalam budaya politik serantau. Apa yang gagal dihadam oleh Putrajaya ialah naratif "kejayaan" yang dijaja—bahawa Thailand dan Kemboja menandatangani perjanjian damai semata-mata kerana air tangan Trump dan Anwar—secara tidak langsung telah "memandulkan" kredibiliti kepimpinan kedua-dua negara tersebut di mata rakyat mereka sendiri.
Naratif ini menjadikan pemimpin Thailand dan Kemboja kelihatan lemah dan terpaksa tunduk kepada telunjuk kuasa luar untuk menyelesaikan masalah halaman sendiri. Justeru, penafian keras yang dibuat oleh PM Thailand adalah satu manifestasi tindak balas untuk memulihkan maruah nasional (saving face). Ia adalah isyarat tegas bahawa Bangkok tidak rela diperkotak-katikkan demi memenuhi nafsu optik politik pihak lain, sekaligus menyebabkan Malaysia—sebagai penunjang perjanjian tersebut—hilang muka apabila dokumen yang dibanggakan itu diingkari dalam masa yang singkat.
Malaysia Tergelincir di Halaman Sendiri
Episod ini merupakan satu langkah silap yang ketara bagi diplomasi Malaysia. Pada mulanya, Putrajaya telah gagal membaca keretakan yang berlaku secara ketara dan kegagalan mengambil langkah proaktif menanganinya telah membawa kepada krisis legitimasi kredibiliti Malaysia sebagai pengantara yang neutral, sabar, dan boleh dipercayai.
Bagi Malaysia dan Anwar Ibrahim, cabarannya kini bukan sekadar membawa pihak bertelagah kembali ke meja rundingan. Isu yang lebih besar adalah weightage atau nilai berat terhadap sebarang rundingan masa depan. Adakah janji Malaysia masih laku selepas perjanjian sebelum ini diingkari dalam tempoh kurang dua bulan? Kegagalan ini memberi indikasi jelas bahawa perjanjian terdahulu mungkin tidak dibincangkan secara teliti dan mendalam oleh pemegang taruh, sebaliknya dibuat secara tergesa-gesa.
Timbul spekulasi bahawa perjanjian ini hanyalah satu strategi "umpan" untuk menarik Trump—yang mendambakan Hadiah Nobel Keamanan—untuk datang ke Malaysia. Perkara ini secara tidak langsung disahkan oleh Menteri MITI, Tengku Zafrul, dalam temubual bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan di podcast 'Keluar Sekejap'. Pengakuan bahawa terdapat elemen "tergesa-gesa" (rushed to an extent) demi memastikan kehadiran Trump membuktikan bahawa diplomasi substantif telah dikorbankan demi optik politik.
Tahun 2025 bakal melabuhkan tirai dengan nota diplomasi yang sumbang, dan kita hanya mampu berharap bahawa insiden ini hanyalah satu ‘seduan’ (hiccup) sementara yang akan cepat berlalu. Namun, kekhuatiran bahawa reputasi diplomasi Malaysia tidak akan pulih dengan pantas adalah berasas.
Tahun 2026 bakal menjadi ujian litmus yang sebenar. Ia bukan sahaja ujian kepada kerajaan Malaysia dari sudut politik domestik—dengan jangkaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor—tetapi juga ujian getir kepada dasar luar dan prinsip berkecuali negara. Jika diplomasi terus dijadikan alat pemasaran politik tanpa asas yang kukuh, Malaysia berisiko kehilangan hormat di pentas antarabangsa yang selama ini menjadi kebanggaan kita.
Yukiepedia (yukiepedia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

