
LONDON – Legenda Manchester United, Gary Neville secara terbuka membidas sikap sambil lewa barisan pemain yang disifatkan beraksi tanpa kesungguhan, selain menuntut pengurus pasukan, Michael Carrick agar berhenti daripada terus melindungi skuadnya.
Kecaman keras itu hadir susulan aksi hambar The Red Devils yang sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Fulham di Craven Cottage, sekali gus menyaksikan mereka nyaris menanggung aib tewas buat kali ketiga di Liga Perdana Inggeris.
Bekas kapten United itu mengakui amat terkejut dengan ketiadaan intensiti dan tenaga yang dipamerkan barisan pemain di atas padang, selain meluahkan rasa kecewa melihat Carrick cuba menepis dakwaan bahawa pasukannya beraksi terlalu pasif.
“Michael (Carrick) perlu berhenti membela para pemainnya. Saya faham mengapa dia bertindak sedemikian, dia seorang yang setia, mahu pemain terus bekerja untuknya dan perjalanan musim ini masih panjang.
“Namun, sudah pasti apa yang Michael katakan kepada umum adalah berbeza sama sekali dengan apa yang diucapkannya secara tertutup di dalam bilik persalinan. Perkara inilah yang benar-benar membimbangkan saya,” tegas Neville.
Mengulas lanjut, Neville memberi amaran bahawa Carrick sendiri bakal menempah masalah besar sekiranya terus berlembut dengan prestasi ‘lesu’ yang ditunjukkan para pemain.
“Orang ramai pasti akan mula mempersoalkan kewibawaannya dan dia sudah maklum akan risiko tersebut sejak hari pertama menerima tugas ini,” katanya. – AGENSI
The post EPL: Carrick perlu hentikan sikap budiman appeared first on Kosmo Online.
