
MANCHESTER – Manchester United dilaporkan mengemukakan tawaran mengejut bernilai AS$8 juta (RM32.6 juta) untuk mendapatkan penjaga gol Paraguay, Orlando Gill yang menyerlah pada kempen Piala Dunia 2026.
Aksi cemerlang Gill bersama Paraguay menjadikannya antara penjaga gol paling mencuri tumpuan apabila membantu pasukan itu mara sehingga pusingan 16 terbaik sebelum disingkirkan Perancis.
Penjaga gol berusia 25 tahun itu turut muncul wira ketika Paraguay menyingkirkan Jerman pada pusingan 32 terbaik apabila menyelamatkan dua sepakan penalti daripada Kai Havertz dan Nick Woltemade dalam penentuan sepakan penalti.
Selain itu, Gill turut merekodkan dua perlawanan tanpa bolos ketika menentang Turkiye dan Australia pada peringkat kumpulan, selain muncul penjaga gol dengan jumlah penyelamatan terbanyak sepanjang kejohanan menerusi 28 aksi menyelamat dalam lima perlawanan.
Prestasi luar biasa itu menyebabkan beberapa kelab Eropah mula memburu tandatangannya termasuk Aston Villa, Bayern Munich, Fiorentina, Torino, Feyenoord dan Olympiakos, namun United kini dilihat berada di hadapan selepas mengemukakan tawaran rasmi.
Gill mengakui dia menerima beberapa tawaran untuk meninggalkan San Lorenzo, namun enggan terlalu memikirkan masa depannya selagi tiada persetujuan dimuktamadkan.
“Tawaran memang sudah mula datang, tetapi selagi tiada sesuatu yang benar-benar dimuktamadkan, tumpuan saya masih bersama San Lorenzo. Saya masih mempunyai kontrak dengan kelab ini dan jika tiada apa-apa yang rasmi berlaku, fikiran saya tetap di sini,” katanya.
San Lorenzo difahamkan masih belum menerima tawaran rasmi daripada United, namun bersedia menilai sebarang cadangan sekiranya kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengemukakan bidaan dalam tempoh terdekat.
Gill yang sudah membuat 59 penampilan bersama San Lorenzo masih mempunyai kontrak sehingga penghujung 2027, namun perpindahan pada jendela musim panas ini dilihat semakin hampir menjadi kenyataan susulan minat serius beberapa kelab gergasi Eropah. – AGENSI
The post EPL: Man. United buru wira Piala Dunia appeared first on Kosmo Digital.



