EPL: Pochettino perlu lebih ‘kejam’

Football
16 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: EPL: Pochettino perlu lebih ‘kejam’

MANCHESTER – Pengendali baharu Manchester United, Mauricio Pochettini perlu masuk ke kelab itu dan melakukan perubahan besar-besaran terutama budaya toksik yang menyebar di Carrington.

Bekas penyerang Liga Perdana Inggeris, Troy Deeney mengakui bahawa pengurus dari Argentina itu perlu sedar bahawa keadaan di kelab itu sangat tidak memuaskan dan beliau mewarisi sesuatu yang tidak bagus.

“Pengurus dan pihak atasan perlu berhenti melakukan perubahan kecil yang tidak membawa hasil. Mereka mesti menangani masalah utama, jika tidak, tiada kemajuan akan dicapai.

“Penyokong United mungkin tidak menyukainya, tetapi Arsenal telah menunjukkan contoh yang boleh diikuti. Daripada terus mengulangi perkara yang terbukti gagal, mereka perlu melakukan perubahan berani.

“Individu berprofil besar perlu disingkirkan, walaupun kelab terpaksa menanggung kesan jangka pendek. Mesut Ozil, Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette pernah disingkirkan demi kebaikan semua pihak. Mereka merupakan pemain yang bagus, tetapi kehadiran mereka membawa pengaruh negatif dalam pasukan,” katanya.

Deeney turut mencadangkan supaya Bruno Fernandes dan Marcus Rashford dilepaskan pada jendela perpindahan Januari sekiranya mereka gagal membuktikan komitmen terhadap pasukan.

“Saya boleh jamin, Rashford akan tiba-tiba cergas untuk perlawanan menentang Liverpool. Dia akan melihat kehadiran pengurus baharu yang menyukai pemain bertenaga dan pantas, lalu merasakan dia mampu memberikan apa yang dimahukan.

“Kemudian Pochettino akan menuntut lebih daripadanya dan dia mungkin tidak menyukainya. Selepas itu, segala sikap negatif yang pernah ditunjukkannya akan kembali. Kitaran yang sama akan berulang dan masalah itu akan kembali menjejaskan pasukan.

“Pochettino mesti menghantar mesej yang jelas. Berikan pemain-pemain ini tempoh sehingga Januari untuk membuktikan komitmen mereka terhadap pasukan. Jika gagal, singkirkan mereka,” jelasnya. – AGENSI

The post EPL: Pochettino perlu lebih ‘kejam’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved