EPMB, Blueshark dan Grab jalin kerjasama perkasa program mobiiliti hijau, ESG

Business & Finance
8 Aug 2023 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EPMB, Blueshark dan Grab jalin kerjasama perkasa program mobiiliti hijau, ESG

zulfadli

08/08/2023 - 17:54

KUALA LUMPUR 8 Ogos - EP Manufacturing Bhd (EPMB) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, EP Blueshark Sdn Bhd (EPSB) memeterai perjanjian kerjasama dengan Grabcar Sdn Bhd (Grab) dan Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, bagi membentuk hubungan kerja dan meninjau peluang perniagaan bersama.

Di bawah perjanjian itu, EPSB akan bekerjasama dengan Grab dan Blueshark mempromosikan program mobiliti hijau dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Program ini bertujuan untuk menukar 80,000 rakan pemandu dan rakan penghantaran Grab daripada pengguna motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada pengguna motosikal kenderaan elektrik (EV).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, kerjasama dengan Grab memberikan EPMB dan Blueshark akses kepada rangkaian pengguna yang luas milik salah satu jenama paling ketara dalam ekonomi gig hari ini.

Katanya, ia juga selaras dengan salah satu matlamat mereka bersama Blueshark, iaitu untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan rumusan mobiliti yang benar-benar boleh diakses.

"Pada Mei 2022, Grab komited untuk mencapai neutraliti karbon dalam ekosistemnya menjelang 2040 sebagai sebahagian daripada matlamat ESG untuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

"Kami percaya kerjasama baharu ini akan membantu mempercepatkan Grab ke arah objektif ini, dan mengharapkan perkongsian yang berjaya," katanya dalam kenyataan di sini.

image is not available
Ahmad Razlan Mohamed

Sementara itu, dua inisiatif utama diumumkan sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama. Projek pertama ini ialah Program Perintis R1, yang mana Blueshark akan menyediakan secara percuma, 50 unit motosikal R1 EV kepada rakan penghantaran Grab terpilih untuk percubaan produk.

Matlamat projek ini adalah untuk mengumpulkan data pengalaman untuk motosikal EV Blueshark, sambil mempromosikan penjimatan kos dengan mobiliti hijau.

Inisiatif kedua ialah Program EV, yang mana EPSB akan mengeluarkan, memasang dan mengedarkan Blueshark IOV Electric Motorcycle, model skuter elektrik pintar yang akan ditawarkan oleh Blueshark kepada rakan pemandu dan rakan penghantaran Grab pada harga tawaran istimewa. EPSB akan memberikan waranti kilang untuk Motosikal Elektrik Blueshark IOV.

Di samping itu, sebagai sebahagian daripada Program EV, Blueshark akan menyediakan bateri kepada rakan pemandu Grab dan rakan kongsi penghantaran pada harga promosi RM79 sepasang, sebulan, untuk enam bulan pertama, dan seterusnya pada RM110 sepasang, setiap bulan.

Selain itu, rakan pemandu dan rakan penghantaran Grab yang mengambil bahagian berhak mendapat pertukaran bateri BlueSwap Pro tanpa had selama 3 bulan di Stesen Tukar Bateri BlueSwap pada harga RM139 sebulan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Grab akan menyampaikan inisiatif ini kepada rakan kongsi penghantarannya, melalui mesej yang dihantar melalui aplikasi pemandu Grab. - DagangNews.com