EPMB kembali catat untung bersih RM13.32 juta pada 2QFY23 setelah jual harta di Glenmarie

Business & Finance
28 Aug 2023 • 5:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EPMB kembali catat untung bersih RM13.32 juta pada 2QFY23 setelah jual harta di Glenmarie

diyana

28/08/2023 - 17:41

KUALA LUMPUR 25 Ogos - EP Manufacturing Berhad (EPMB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM13.32 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding kerugian bersih RM1.73 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong oleh keuntungan RM13.6 juta daripada penjualan hartanya di Glenmarie, Shah Alam.

Tanpa mengambil kira keuntungan dari penjualan tersebut, EPMB melaporkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM100,000 daripada operasi, menurun 93.8% daripada LBT operasi RM1.6 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22).

Peningkatan prestasi ini didorong oleh lonjakan pendapatan 28.1% tahun ke tahun kepada RM137.86 juta, daripada RM107.63 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata peningkatan pendapatan sebanyak RM30.23 juta telah didorong oleh jualan kukuh alat ganti automotif, di mana pembuat kereta terus berusaha memenuhi pesanan tertunggak yang tinggi.

image is not available
Ahmad Razlan Mohamed

“Tambahan pula, kerugian bersih daripada operasi menurun dengan ketara, hasil yang kukuh walaupun terdapat peruntukan untuk hutang lapuk.

“Keputusan untuk membuat peruntukan ini didasarkan pendekatan berhemat dan konservatif kami terhadap pengurusan risiko.

“Kumpulan EPMB akan terus melaksanakan rancangan transformasi kami, yang termasuk menjadi pemaju mobiliti lestari,” ujar beliau dalam satu kenyataan media di sini.

Bagi perbandingan suku ke suku, EPMB mencatat LBT daripada operasi sebanyak RM100,000 pada 2QFY23, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) daripada operasi berjumlah RM3.63 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23).

LBT daripada operasi terutamanya disebabkan oleh elaun untuk hutang ragu, serta perbelanjaan operasi tambahan (opex) yang dilaburkan bagi kilang EPMB di Tanjung Malim sebelum permulaan operasi pada September.

Sementara itu, keuntungan bersih kumpulan pada 1QFY23 adalah sebanyak RM3.55 juta.

Pendapatan 2QFY23 kumpulan itu merosot 9.4% daripada RM152.12 juta pada 1QFY2023.

Menurut EPMB, jualan lebih rendah disebabkan cuti Hari Raya, yang menyebabkan tempoh kerja lebih pendek bagi suku tersebut. - DagangNews.com