Era AI tuntut mahasiswa Selangor tingkat kemahiran, kekal relevan

LocalTechnology
9 May 2026 • 3:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Era AI tuntut mahasiswa Selangor tingkat kemahiran, kekal relevan

SYDNEY, 9 MEI: Era kecerdasan buatan (AI) menuntut mahasiswa Selangor di luar negara untuk terus meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata negeri itu memerlukan bakat muda berkemahiran tinggi selaras dengan bidang pengajian masing-masing bagi menyokong pembangunan masa depan Selangor.

Menurutnya, AI kini menjadi sebahagian daripada kehidupan dan dunia pekerjaan, justeru mahasiswa perlu menambah nilai diri serta meningkatkan keupayaan supaya mampu memenuhi keperluan industri.

“Mana-mana organisasi biasanya menerima apa juga kelulusan diperoleh mereka apabila pulang bekerja di Malaysia, namun syaratnya mereka perlu terus meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri.

“Dalam apa juga bidang dipelajari, mahasiswa perlu berbuat demikian supaya mampu bersaing dengan pelajar dari tempat lain, sekali gus menjadi sebahagian daripada tenaga kerja berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi Dialog Masa Depan Selangor yang disertai lebih 140 pelajar sempena Konvensyen Mahasiswa Selangor (KOMSEL) Luar Negara di Park Royal Darling Harbour, Sydney, semalam.

Sementara itu, Saipolyazan berkata mahasiswa tidak perlu bimbang dengan kepantasan AI masa kini yang dianggap mengubah landskap pekerjaan sehingga ramai hilang pekerjaan.

"Kerisauan AI akan menggantikan pekerja sebenarnya tidak perlu jadi isu memandangkan ia hanyalah sistem yang membantu manusia buat keputusan lebih tepat dengan hasil analisa dan sebagainya," jelasnya.

Beliau turut mengalu-alukan permohonan mahasiswa anak Selangor yang sedang mengikuti pengajian di luar negara untuk menjalani latihan industri di pemerbadanan itu termasuk agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

"Mereka boleh kembali ke Malaysia dan bekerja atau memulakan latihan industri di MBI. Malah mereka boleh terlibat dalam bidang strategi di anak syarikat yang terlibat dalam teknologi serta perniagaan tertentu kerana kita perlukan kemahiran mereka," katanya.

View Original Article