
LONDON – Gelombang haba melampau yang sedang melanda benua Eropah menyaksikan suhu mencecah sehingga 44 darjah Celsius di beberapa negara, khususnya di selatan Eropah seperti Greece dan Itali, menjelang hujung minggu ini.
Laporan agensi berita Anadolu Ajansi (AA) menyatakan bahawa sistem tekanan rendah yang kuat sedang bergerak merentasi Eropah Tengah, mencetuskan amaran cuaca ekstrem termasuk amaran merah di Denmark serta amaran ribut petir di sepanjang pantai Baltik membabitkan Jerman dan Poland.
Peta anomali indeks cuaca kebakaran sederhana oleh Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah menunjukkan dua kluster utama yang sedang menghadapi keadaan melampau dan sangat melampau melibatkan sebahagian besar Norway, Sweden dan Finland, serta kawasan Eropah Tenggara termasuk Greece, Itali Selatan, Balkan, Cyprus, Bulgaria, Romania dan Turkiye.
Sebaliknya, Eropah Barat dan Tengah dijangka mengalami risiko kebakaran yang lebih rendah, manakala Semenanjung Iberia seperti Sepanyol dan Portugal pula berada dalam kategori anomali tinggi hingga sangat tinggi.
Gelombang haba ini turut mendorong kerajaan tempatan di beberapa negara mengenakan larangan terhadap aktiviti kerja luar ketika waktu puncak haba, di samping meningkatkan amaran risiko kebakaran di kawasan tanah besar.
Ahli meteorologi memberi amaran bahawa suhu luar biasa panas di Laut Mediterranean boleh mencetuskan ribut yang lebih kuat, sekali gus memburukkan lagi cuaca ekstrem di rantau ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim kini menjadi pendorong utama kepada kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, banjir dan kebakaran hutan.
Pada tahun 2022 sahaja, lebih 60,000 nyawa terkorban akibat cuaca panas melampau di Eropah dan angka ini dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2050 sekiranya tiada tindakan diambil.
WHO turut menegaskan bahawa kesan kesihatan akibat cuaca ekstrem boleh dicegah melalui pelaksanaan langkah-langkah kesihatan awam yang menyeluruh dan berkesan.



