amree14/04/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 April – ES Sunlogy Berhad berjaya menyiapkan loji solar di Kulim, Kedah di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga negara.
Kumpulan tersebut berkata, penyempurnaan loji fotovolta solar Selarong Pertama Energy Sdn Bhd (SPE) itu turut memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).
Ia menyifatkan projek itu mencerminkan pengembangan strategik daripada perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) kepada pemilikan aset tenaga bersih dalam tempoh jangka panjang.
"Projek usaha sama (JV) ini melibatkan Tenaga Nasional Berhad menerusi anak syarikatnya TNB Renewables Sdn Bhd serta Solarvest Holdings Berhad," maklumnya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Penyertaan ES Sunlogy melalui Savelite Engineering Sdn Bhd pula adalah sebanyak 40%, dengan tenaga yang dijana daripada loji itu akan dibekalkan secara maya kepada Micron Memory Malaysia Sdn Bhd.

Pelaksanaan loji baharu tersebut ditetapkan di bawah Perjanjian Tenaga Hijau Korporat (CGPA) selama tempoh 21 tahun, bersama-sama dengan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC).
Menurut Pengarah Urusan ES Sunlogy, Khor Chuan Meng, kejayaan itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan RE syarikat serta membuktikan keupayaan menyediakan infrastruktur tenaga bersih.
"Penyertaan kami dalam projek seperti SPE juga selari dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk membina aliran pendapatan secara berulang dan mampan melalui aset RE sendiri," kata beliau.
Selain itu, projek berkenaan dilihat meningkatkan keterlihatan syarikat dalam pasaran tenaga bersih Malaysia yang berkembang pesat, didorong permintaan daripada sektor bernilai tinggi.
ES Sunlogy akan terus memperkukuh penglibatan dalam peluang RE melalui pelaksanaan projek secara berdisiplin serta kerjasama strategik bagi menyokong aspirasi rendah karbon negara. - DagangNews.com



