
KUALA LUMPUR – Keperluan melahirkan tenaga kerja yang memahami prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) semakin penting susulan agenda kelestarian kini mula mempengaruhi strategi organisasi, keputusan pelaburan dan operasi perniagaan.
Menyedari keperluan itu, Olympia Education Malaysia (OEM) menjalinkan kerjasama strategik dengan Malaysian Association of Public Advocacy for Nature (MAPAN) bagi memperluas pendedahan pelajar terhadap ESG, kelestarian dan keperluan industri.
Kerjasama berkenaan dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang turut meliputi pembangunan profesional, penyelidikan, pembangunan kapasiti, advokasi alam sekitar dan penglibatan industri.
Pengarah Akademik Olympia Education Malaysia, Prof. Dr. Dzuljastri Abdul Razak berkata, perubahan keutamaan industri menuntut institusi pendidikan memastikan pembelajaran yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan semasa.
“Pertimbangan kelestarian dan ESG semakin relevan dalam menentukan bagaimana organisasi beroperasi, membuat keputusan dan mencipta nilai jangka panjang.
“Menerusi kerjasama dengan MAPAN ini, kami berhasrat memberikan pendedahan lebih luas kepada pelajar dan komuniti akademik dalam bidang ini, selain mewujudkan peluang bermakna untuk pembelajaran, pembangunan profesional dan penglibatan industri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama itu turut memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman praktikal mengenai penerapan ESG dalam strategi organisasi dan pembangunan komuniti.
Antara inisiatif yang bakal diterokai termasuk seminar, bengkel, dialog industri, program pembangunan profesional, penyelidikan, kempen kesedaran dan pembelajaran berasaskan pengalaman.-KOSMO! ONLINE
The post ESG penuhi keperluan industri, buka kerjaya baharu buat graduan appeared first on Kosmo Digital.
