
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sudah menjadi kebiasaan buat ahli politik atau wakil rakyat untuk mempamerkan usaha-usaha yang telah dilakukan dalam membantu rakyat susulan mandat yang diberikan.
Fahmi Fadzil dikritik orang ramai selepas kongsi keadaan jalan di pangsapuri Taman Sri Sentosa sudah ditampal
Namun hantaran dimuat naik oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berhubung pembaikan jalan di sebuah pangsapuri di Lembah Pantai semalam (25 Mei) telah menerima pelbagai kritikan daripada orang ramai.
Menerusi hantaran di Threads itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan telah berkongsi jalan berlubang dan rosak yang telah diturap di sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur.

Terima aduan jalan berlubang dari penduduk Taman Sri Sentosa
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani memaklumkan beliau telah menerima aduan daripada penduduk pangsapuri berkenaan mengenai jalan berlubang di kawasan itu.
“Susulan itu, Pejabat Parlimen Lembah Pantai telah menyalurkan sumbangan bagi kerja pembaikan, dan alhamdulillah hari ini lubang tersebut telah pun ditutup.
“Semoga langkah ini dapat membantu menjaga keselamatan dan kemaslahatan semua pengguna jalan di kawasan berkenaan,” jelasnya dalam hantaran itu.
View on Threads
Ramai kritik dan sifatkan pembaikan jalan yang ditampal tidak berkualiti
Walau bagaimanapun, hantaran tersebut telah mengundang reaksi dan kritikan orang ramai berikutan cara serta kualiti kerja pembaikan yang dilakukan pada jalan berlubang berkenaan.
Bahkan ada juga yang mempersoal tindakan Fahmi berkongsi kemaskini berhubung jalan yang dilihat masih teruk itu.
Tidak kurang ada yang berpendapat, kerja pembaikan jalan sepatutnya melibatkan turapan di keseluruhan jalan berkenaan dan bukan hanya pada kawasan berlubang.
Ada siap minta ChatGPT sifatkan jenis pembaikan yang dibuat
Malah ada yang berkongsi gambar tersebut dengan aplikasi ChatGPT dan memintanya untuk memberikan komen berhubung penurapan jalan terbabit.
Ada juga berpendapat terdapat beberapa lagi kawasan pada jalan berkenaan yang perlu ditampal atau diturap dan meminta semakan dilakukan terlebih dahulu sebelum membuat perkongsian.
Walau bagaimanapun, kami tidak dapat mengenal pasti sama ada mereka yang mengkritik hantaran tersebut adalah penduduk sebenar Taman Sri Sentosa atau sebaliknya.
Malah ada netizen yang meninggalkan komen di Threads itu berkata mereka ‘hadir’ daripada Facebook rasmi Menteri Komunikasi itu memandangkan ruangan komen di hantaran sama sudah ditutup.
Pun begitu ada juga yang memuji usaha Fahmi kerana membuat penurapan tersebut dengan cepat.
“Terbaik laju buat kerja, terima kasih YB”

“Buat lawak ke ni?”

“Tukar nama jadi blok 67, Taman Sri Scuba. Lembah Meh”

“Hmm tak nak cakap apa-apa. Ni jawapan ChatGPT dari gambar yang ditunjukkan”

“Hanya kualiti pemeriksaan. Ada beberapa tempat yang harus diturapkan atau tampal lagi. Sebelum post semak dahulu kontraktor tu bekerja dengan betul atau tidak. Semak dahulu sebelum kongsi”

“Kenapa buat jalan macam tu. Buat lah bagi penuh. Hodoh sangat lah tengok ni macam level six seven je ni”

