‘Esok sekolah atau tidak?’

LocalEnvironment
18 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Esok sekolah atau tidak?’
Image from: ‘Esok sekolah atau tidak?’
Dr. Nur Azalina Suzianti Feisal

Setiap kali jerebu melanda, satu persoalan yang sering bermain di fikiran ibu bapa ialah: “Esok sekolah atau tidak?”

Bagi sesetengah orang, ia mungkin kelihatan seperti persoalan biasa. Tetapi bagi ibu bapa, guru dan murid, keputusan tersebut berkait rapat dengan kesihatan, keselamatan, perjalanan harian dan kesinambungan pembelajaran.

Jerebu bukan sekadar feno­mena langit yang kelihatan ber­kabus. Ia adalah isu alam sekitar yang mempu­nyai implikasi langsung terhadap kesihatan awam dan kehidupan seharian masyarakat.

Malaysia sebenarnya mempunyai Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang menyediakan kerangka tindakan dan penyela­rasan antara agensi berkaitan. Ini penting kerana pengurusan jerebu memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor kesihatan, pendidikan, pihak berkuasa tempatan, komuniti dan institusi penyelidikan.

Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita terus memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan membuat keputusan lebih awal.

Jerebu bukan sekadar ­angka IPU

Apabila jerebu berlaku, perhatian kita lazimnya tertumpu kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU). Ia penting kerana membantu orang ramai memahami tahap kualiti udara dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Namun, dari sudut kesiapsiagaan, kita juga perlu melihat faktor lain seperti titik panas, keadaan cuaca, arah dan kelajuan angin, kelembapan serta kemungkinan pergerakan asap.

Dengan kemajuan teknologi, pelbagai sumber data ini boleh digunakan secara bersama untuk membantu memahami bukan sahaja keadaan udara hari ini, tetapi kemungkinan keadaan pada hari berikutnya.

Pendekatan sebegini membolehkan kita bergerak daripada hanya bertindak apabila keadaan menjadi buruk kepada bersedia berdasarkan risiko yang dijangka.

Anak-anak perlu menjadi keutamaan

Dalam setiap episod jerebu, golongan yang paling memerlukan perhatian ialah mereka yang lebih mudah terkesan, termasuk kanak-kanak. Murid menghabiskan sebahagian besar masa mereka di sekolah.

Apabila kua­liti udara merosot, aktiviti luar mungkin perlu disesuaikan dan langkah perlindungan tambahan mungkin diperlukan.

Bagi murid yang mempunyai masalah pernafasan, perhatian yang lebih khusus juga penting.

Sebab itu apabila ibu bapa bertanya, “Esok sekolah atau tidak?” sebenarnya mereka bukan sekadar mahu mengetahui status sekolah.

Mereka mahu tahu bagaimana untuk memastikan anak mereka selamat. Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengatur perjalanan, penjagaan anak dan rutin keluarga sekiranya sekolah ditutup. Guru pula memerlukan masa untuk membuat persediaan sekiranya kaedah pembelajaran perlu disesuaikan. Justeru, komunikasi yang jelas dan maklumat yang tersedia lebih awal amat penting.

Kesiapsiagaan tidak semesti­nya bermaksud sekolah ditutup. Apabila keadaan udara merosot, penutupan sekolah bukanlah satu-satunya bentuk tindakan. Kita boleh mempunyai pendekatan mengikut tahap risiko. Apabila keadaan mula merosot, aktiviti luar boleh dikurangkan.

Jika keadaan bertambah buruk, langkah perlindungan kepada murid boleh dipertingkatkan.

Dan apabila keadaan mencapai tahap yang memerlukan penutupan, pihak sekolah dan ibu bapa boleh membuat persediaan berdasarkan panduan yang telah ditetapkan.

Dengan cara ini, pengurusan jerebu tidak hanya dilihat sebagai persoalan “sekolah buka atau tutup”, tetapi sebagai satu pro­ses melindungi kesihatan murid sambil memastikan pendidikan dapat diteruskan sejauh yang selamat.

Kita perlu bergerak daripada reaktif kepada lebih bersedia. Jerebu juga mengingatkan kita bahawa perubahan iklim dan corak cuaca perlu diambil kira dalam perancangan jangka panjang. Cuaca panas dan kering boleh meningkatkan risiko kebakaran, manakala keadaan angin mempengaruhi pergerakan asap.

Oleh itu, usaha menangani je­rebu perlu merangkumi pencegahan, pemantauan dan kesiapsiagaan. Pengurusan kawasan gambut, pencegahan pembakaran terbuka, pemantauan kawasan berisiko tinggi serta kesedaran masyarakat semuanya memainkan peranan.

Dalam masa yang sama, teknologi satelit, data meteorologi dan sistem pemantauan kua­liti udara boleh membantu kita membuat persediaan dengan lebih baik. Kita tidak perlu me­nunggu sehingga keadaan menjadi kritikal untuk mula bertindak.

Jerebu tidak mengenal sempadan

Satu lagi realiti yang perlu kita fahami ialah asap tidak me­ngenal sempadan politik. Pergerakan asap dipengaruhi oleh keadaan atmosfera dan angin. Justeru, kerjasama serantau dan perkongsian maklumat amat penting dalam menangani episod jerebu yang merentasi sempadan negara.

Pada peringkat tempatan pula, masyarakat juga mempunyai peranan — daripada mengelakkan pembakaran terbuka hingga melaporkan kebakaran dan mematuhi nasihat kesihatan apabila kualiti udara merosot.

Daripada “esok sekolah atau tidak?” kepada “kita sudah bersedia”.

Setiap kali jerebu berlaku, kita mungkin tidak mampu mengawal bila kebakaran berlaku atau ke mana asap akan bergerak. Tetapi kita boleh mengawal sejauh mana kita bersedia menghadapinya.

Malaysia telah mempunyai kerangka dan mekanisme untuk menangani jerebu. Dengan perkembangan teknologi dan keupayaan data yang semakin baik, kita mempunyai peluang untuk terus memperkukuh sistem tersebut agar tindakan dapat dibuat dengan lebih pantas, terancang dan berasaskan maklumat.

Bagi ibu bapa, guru dan murid, kesiapsiagaan ini amat bermakna. Kita tidak mahu setiap malam menjadi masa untuk tertunggu-tunggu satu pengumuman: Esok sekolah atau tidak?

Kita mahu sampai ke tahap sekolah, ibu bapa dan komuniti mempunyai maklumat mencukupi membuat persediaan lebih awal. Kerana akhirnya, matlamat kita bukan hanya mena­ngani jerebu apabila ia berlaku.

Matlamat kita adalah memastikan anak-anak kita kekal selamat, sihat dan terus mendapat pendidikan dalam persekitaran yang semakin berhadapan dengan cabaran cuaca dan iklim yang tidak menentu.

 

Dr. Nur Azalina Suzianti Feisal

Penulis merupakan Ketua, Pusat Strategi dan Daya Tahan Iklim, Management and Science University

The post ‘Esok sekolah atau tidak?’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved