
SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan anggota keselamatan Amerika Syarikat (AS) menjalankan latihan bersama Medical First Responder (MFR) di sini bagi memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan dan penyelarasan operasi di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).
Latihan yang berlangsung dari 14 hingga 18 Sept itu membabitkan 30 pegawai dan anggota Esscom serta agensi Malaysia yang mengambil bahagian, dengan sokongan 11 fasilitator daripada Special Operation Forces Liaison Element (Sofle) dan Civil-Military Support Element (CSME) Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Latihan berkenaan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan premis Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), meliputi sesi teori dan praktikal bagi mengendalikan situasi kecemasan.
Esscom berkata latihan itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan, pengetahuan dan pengalaman praktikal, khususnya dalam menghadapi bencana alam serta bantuan kemanusiaan.
Ia turut memperkukuh penyelarasan antara agensi keselamatan, penguatkuasaan, perubatan dan bukan kerajaan yang beroperasi dalam Esszone.
Majlis penutupan disempurnakan Brig Jen Khairuddin Zakaria yang mewakili Komander Esscom, bersama wakil AS dan ketua jurulatih CSME, Pasukan Khas AS, Kapten James Blackburn.
Turut hadir pegawai kanan Polis Marin Wilayah Empat, Batalion ke-15 Pasukan Gerakan Am, APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Hospital Sandakan dan St John Ambulance Malaysia.
Komander Esscom, DCP Datuk Victor B Sanjos berkata latihan itu berjaya dilaksanakan mengikut terma rujukan yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Latihan bersama itu turut menyumbang kepada pengukuhan kerjasama keselamatan antara Malaysia dan AS, dengan Esscom berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
