Esscom: Peluang pekerjaan mampu bendung jenayah

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 5:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Esscom: Peluang pekerjaan mampu bendung jenayah

TAWAU: Kesejahteraan ekonomi mampu mengurangkan risiko seseorang terlibat dalam kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah atau perbuatan mengancam keselamatan negara akibat kesempitan hidup kata Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali.

“Ekonomi dan keselamatan saling berkait dalam mewujudkan kesejahteraan kerana tanpa keselamatan, ekonomi tidak dapat berkembang.

“Jika ekonomi tidak baik, keadaan ini boleh menyumbang kepada kegiatan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Karnival Gigpreneur, Ekonomi dan Kerjaya (GEK) Esszone di Dewan Masyarakat Tawau pada Sabtu.

Karnival itu dianjurkan Esscom dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri.

Jamaluddin berkata karnival berkenaan merupakan antara pendekatan untuk mengubah pemikiran golongan belia dan masyarakat umum bahawa peluang pekerjaan terbuka luas dan tidak terhad kepada pekerjaan bergaji tetap sahaja.

“Walaupun sektor gig dianggap sebagai pekerjaan sementara, ia juga mampu memberikan aliran pendapatan yang stabil jika mereka tahu merebut peluang untuk menjana pendapatan sendiri.

Dengan teknologi digital masa kini, terdapat pelbagai peluang terbuka termasuk sebagai pencipta kandungan kreatif selain bidang anyaman, pembaikan penghawa dingin dan perkhidmatan tukang paip bebas sebagai alternatif kepada pelanggan selain menggunakan kontraktor seperti kebiasaan.

“Pendekatan ini diperkenalkan supaya golongan belia mempunyai sumber pendapatan tanpa perlu berhijrah jauh dari Sabah kerana terdapat banyak peluang termasuk dalam sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata penganjuran karnival itu mengambil kira hubungan rapat antara ekonomi dan keselamatan dengan menyediakan sumber pendapatan serta peluang pekerjaan baharu kepada kumpulan sasaran khususnya golongan penganggur.

Katanya Kerajaan Madani turut memperkenalkan pelbagai inisiatif dan insentif ekonomi terutama bagi mengelakkan golongan yang tidak mempunyai pekerjaan daripada terjerumus ke dalam kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah akibat ketiadaan sumber pendapatan.

Sementara itu Komander Esscom Datuk Victor Sanjos berkata meskipun individu yang mempunyai pekerjaan tetap dan profesional juga boleh terlibat dalam jenayah, keutamaan Esscom ketika ini ialah memastikan masyarakat di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) mempunyai sumber pendapatan yang terjamin.

Beliau tidak menolak kemungkinan sesetengah individu memilih kegiatan jenayah sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang, terutama mereka yang tidak mempunyai sebarang pendapatan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Syed Ahmad Syed Abas memuji penganjuran program berkenaan yang memberi ruang kepada penduduk khususnya golongan belia untuk mencari sumber pendapatan atau pekerjaan baharu termasuk menceburi bidang keusahawanan dan pekerjaan gig.

Kita melihat sambutan terhadap program ini amat baik kerana ia bukan sahaja menerima penyertaan belia dari Tawau dan Kalabakan malah ada yang datang dari luar daerah seperti Paginatan untuk mencari peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Kita berharap program ini diteruskan kerana kadar pengangguran di Sabah masih memerlukan lebih banyak peluang ekonomi bagi meningkatkan pendapatan penduduk, khususnya golongan belia di Esszone,” katanya.

Karnival GEK Esszone yang pertama itu melibatkan 10 jabatan kerajaan dan syarikat swasta, menawarkan 200 peluang pekerjaan kepada golongan penganggur, khususnya belia serta menarik kira-kira 3,000 pengunjung.

Susulan sambutan menggalakkan di Tawau, Esscom dan Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif merancang menganjurkan karnival seumpama itu di zon lain sekitar Esszone.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved