Esscom, Tentera AS perkukuh tahap kesiapsiagaan kecemasan di Sabah

8 Dec 2025 • 5:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Seramai 33 anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menamatkan latihan bersama Medical First Responder (MFR) yang dijangka dapat memperkukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Latihan selama lima hari itu merupakan usaha dua hala antara Esscom dan Special Operation Forces Liaison Element (SOFLE) serta Civil Military Support Element (CSME) Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Latihan yang dijalankan di Pangkalan Operasi Pasukan Polis Marin itu menekankan pengurusan risiko kecemasan, khususnya melibatkan bencana alam, melalui gabungan modul teori dan latihan praktikal di lapangan.

Komander Esscom DCP Datuk Victor Sanjos berkata latihan itu merupakan langkah penting bagi memastikan barisan hadapan kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi serta mengukuhkan pengetahuan praktikal daripada situasi dunia sebenar.

Beliau berkata latihan itu juga bertujuan memastikan anggota Esscom mampu bertindak pantas dan berkesan dalam sebarang kecemasan termasuk situasi bencana.

“Latihan ini turut meningkatkan kerjasama antara agensi keselamatan, penguatkuasaan, perubatan dan sukarelawan di Esszone sekali gus membolehkan respons yang lebih tersusun dan efektif ketika kecemasan,” katanya.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Brig. Jen. Mohamad Ismail Kamarudin yang mewakili Victor bersama Penasihat Pertahanan Kedutaan AS, Kapten Pasit Somboonpakron dari Tentera Laut Amerika Syarikat.

Latihan yang bermula pada 1 Disember itu melibatkan Pasukan Polis Marin, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Hospital Lahad Datu dan St. John Ambulans Malaysia.