ETCM perkenal Nissan Serena J IMPUL serba baharu berharga RM169,888
zulfadli
06/07/2023 - 15:06
KUALA LUMPUR 6 Julai - Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd memperkenalkan Nissan Serena J Impul serba baharu yang kini lebih bergaya dan mewah.
Serena J IMPUL direka bentuk berdasarkan kelebihan Pakej Premium Highway Star, dan dipertingkatkan lagi dengan sentuhan luaran yang berkualiti tinggi dan anggun, penampilan yang lebih sporty serta suasana kabin yang mewah.
Semuanya dibangunkan secara eksklusif dengan kerja sama penala selepas pasaran terkenal, IMPUL Jepun.
Pada bahagian hadapan, keanggunan Serena dipertingkatkan dengan hiasan krom yang menyerlahkan profil agresif bampar hadapan, ia juga melengkapkan krom tersendiri gril hadapan V-Motion Nissan yang berani.
Di bahagian belakang pula, kemasan krom digunakan pada tepi bawah bampar untuk membezakan J IMPUL secara visual dan supaya ia padan dengan aksen krom hadapan dan lambang IMPUL yang terdapat pada tailgate.
Pakej luaran Serena J IMPUL disempurnakan dengan set roda aloi jejari Y IMPUL Millennium dengan kemasan hitam berkilat. Aloi ringan 18 inci ini digilap dengan sempurna dan dikilangkan di Jepun.
Untuk memastikan pengendalian yang yakin dan perjalanan lancar, Serena J IMPUL dilengkapi dengan tayar Goodyear Eagle F1 Sport berprestasi ultra tinggi dengan reka bentuk bunga Eagle Claw dan Teknologi ActiveControl untuk kestabilan dan tindak balas stereng yang luar biasa.

Selain itu, ia juga memberikan kuasa membrek yang lebih berkesan melalui Teknologi DynamicBrakingnya, pada masa yang sama, memastikan perjalanan yang tenang dan selesa.
Bahagian dalaman Serena yang luas juga menerima ubah suai IMPUL premium. Tempat duduk dan kemasan pintu dilapisi dengan kulit kombinasi.
Bukan sahaja kulit Nappa yang dipilih dengan teliti nampak mewah dan rasa lembut apabila disentuh, manakala warna kontras hitam-burgundy juga menaikan lagi suasana kabin dengan ketara dengan corak tempat duduk yang berinspirasikan taman batu Jepun yang unik serta sulaman logo IMPUL.

Serena juga dapat menangani masalah inflasi dalam era pasca COVID-19 dengan penjana kuasa S-Hybrid yang cekap bahan api yang terdiri daripada enjin MR20DD 2 liter CVTC 4 silinder yang disokong motor elektrik kawalan tenaga.
Mesin yang menghasilkan jumlah tenaga sebanyak 150hp dan 200Nm ini mampu menjanakan kenderaan 7 tempat duduk ini melalui X-TRONIC CVT serta kawalan anjakan adaptif yang lancar.
Apa yang lebih penting, ia dapat menawarkan penjimatan bahan api yang luar biasa sebanyak 14.2 km/l, iaitu bersamaan dengan 852 km pada tangki penuh bahan api.

Setiap Serena dilengkapi secara standard dengan Nissan Intelligent Mobility 360° Safety Shield, serta menawarkan bantuan pemanduan maju Nissan seperti 'Intelligent Predictive Forward Collision Warning' dan 'Intelligent Forward Emergency Braking'.
Ia dapat mengimbas trafik di hadapan untuk memberi amaran kepada pemandu tentang bahaya yang akan berlaku dan secara automatik menggunakan brek untuk meminimumkan kerosakan sekiranya berlaku perlanggaran tidak dapat dielakkan.
Nissan Serena J IMPUL serba baharu ini dijual pada harga RM169,888, yang mana emua aksesori IMPUL dipasang di kilang didatangkan dengan jaminan selama 3 tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer. - DagangNews.com

