Etika, Cleantech Solar jalin kerjasama kembangkan projek kelestarian di Malaysia dan Indonesia
zulfadli
21/06/2023 - 17:02
KUALA LUMPUR 21 Jun - Kumpulan Etika, pengeluar dan pengedar minuman halal terkemuka Malaysia, Singapura dan Brunei memasuki perkongsian jangka panjang dengan Cleantech Solar untuk membangunkan tiga sistem sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung dengan jumlah kapasiti sistem sebanyak 1.7 megawatt-peak (MWp) di seluruh Malaysia dan Indonesia.
Pembangunan terbaharu ini diusahakan berikutan kejayaan pentauliahan dua sistem PV atas bumbung untuk Etika Beverages Sdn Bhd di Malaysia dengan gabungan kapasiti 1.7 MWp.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Cleantech Solar akan menyediakan pembiayaan, reka bentuk, pemasangan, penyelenggaraan dan operasi sistem PV sepanjang tempoh di dalam perjanjian jangka panjang ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika Malaysia, Singapura, dan Brunei, Santharuban Thurai Sundaram berkata, pemasangan panel solar merupakan satu langkah ke hadapan dalam memajukan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir (ESG) dan mendekatkan lagi cita-cita mereka untuk menjadi salah satu jenama mesra alam terkemuka dalam industri barangan pengguna berkembang pantas (FMCG).
"Kerjasama di antara Etika dan Cleantech Solar bukan semata-mata untuk kemajuan ekonomi, ia juga didirikan atas persefahaman yang sama untuk mengurangkan jejak karbon sambil meningkatkan kecekapan operasi Etika.
"Kami melabur untuk masa depan kami pada hari ini dan yakin bahawa tindakan ini adalah yang terbaik untuk memperbaiki alam sekitar demi kehijauan bumi yang dapat memanfaatkan semua pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang pertama telah ditandatangani dengan Etika Sdn Bhd, yang mana syarikat tersebut membotol, memasarkan dan mengedarkan jenama global seperti Pepsi, Mirinda, 7Up, Revive Isotonic, Gatorade, Lipton, Tropicana, MUG dan Mountain Dew.

Etika juga mengeluarkan, mengedar dan memasarkan Wonda Coffee dan Calpis, serta pelbagai keluaran produk tersendiri seperti Chill, Bleu Mineral Water dan Kickapoo.
Projek solar 1.4 MWp telah pun beroperasi selama hampir dua tahun dan kini, Cleantech Solar sedang dalam usaha untuk memperluaskan projek ini dengan fasa kedua untuk menambahkan sebanyak 840 kilowatt-peak (kWp) PV atas bumbung.
Tambahan lagi, projek ketiga yang ditandatangani dengan Etika adalah PV solar atas bumbung 340 kWp. Solar ini telah beroperasi hampir setahun di gudang Etika yang terletak di Bangi, Selangor.
Projek keempat dengan saiz sistem 656 kWp adalah untuk Etika Dairies Sdn Bhd di Malaysia, sebuah syarikat yang mengeluarkan dan menjual susu UHT dan susu pasteur di bawah jenama Susu Goodday dan krim pekat manis dan susu sejat di bawah jenama Dairy Champ.
Projek kelima adalah untuk PT Etika Dairies Indonesia untuk membangunkan sistem PV solar 233 kWp di kemudahan pembuatan mereka di Pasuruan, Indonesia, yang mana mereka mengeluarkan krim pekat manis. - DagangNews.com


