Eurofresh, anak syarikat Perak SADC teroka kerjasama strategik dengan PT Fresh On Time Seafood Indonesia

8 Jan 2024 • 11:29 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eurofresh, anak syarikat Perak SADC teroka kerjasama strategik dengan PT Fresh On Time Seafood Indonesia

zakisalleh

08/01/2024 - 11:29

IPOH 8 Jan - Kerjasama strategik baharu diteroka Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dalam bidang produk hasil laut menerusi lawatan kerja ke Bogor, Jawa Barat, Indonesia.

Melalui anak syarikatnya Eurofresh, pengurusan kanan Perak SADC telah melawat ke premis Perusahaan PT Fresh On Time Seafood (FOT).

Perak SADC diwakili Pengurus Besar Strategik & Pembangunan Perniagaan, Zulfadzli Muhd Irpan; Ketua Pegawai Eksekutif Eurofresh, Jasmeen Dhillon dan Pengurus Strategik & Pembangunan Perniagaan, Ezam Omar.

FOT merupakan pembekal bagi pelbagai produk hasil laut yang telah diproses dan berkonsepkan siap untuk dimakan kepada Eurofresh.

image is not available
Sesi perbincangan antara pihak FOT dan Perak SADC.

Ia dikenali sebagai perusahaan nombor satu di Indonesia bagi kategori pemprosesan hasil laut bermula dengan menjalankan perniagaan mengetin hasil laut sejak 1984 di Medan.

FOT telah berkembang sebagai pengeksport utama produk hasil laut yang telah diproses dengan 80% pasarannya ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Kerjasama ini dalam usaha Eurofresh untuk meningkatkan pendapatan serta jaringan perniagaan global.

Bekalan pertama pelbagai produk hasil laut bernilai RM779,000 daripada FOT telah diterima Eurofresh pada Disember lalu.

image is not available
FOT merupakan syarikat pemprosesan hasil laut utama di Indonesia.

Turut dibincangkan semasa lawatan ialah menjadikan Eurofresh sebagai pengedar utama bagi produk FOT di Malaysia serta peluang kolaborasi dalam pembangunan Perak Halal Industrial Park@Lekir.

Pengurusan Perak SADC dan Eurofresh juga dibawa bersama meninjau operasi kilang.

Dengan tenaga kerja tempatan seramai 3,000 orang, perusahaan FOT ini sangat berdaya saing untuk memastikan produk dihasilkan berkualiti dan mencapai standard antarabangsa.

Pada masa sama, fokus lawatan ini dapat memberikan impak besar kepada rancangan perniagaan global Perak SADC dan juga pengembangan pasaran Eurofresh dalam segmen hasil laut.- DagangNews.com