

Khabar angin kini sedang ‘bertiup kencang’ tentang kemungkinan syarikat pengeluar bateri lithium China dengan kilang pengeluaran di Padang Meha, Kedah, EVE Energy Malaysia Sdn. Bhd. (EVE), bakal menjalinkan kerjasama dengan jenama kenderaan elektrik terkemuka Amerika Syarikat, Tesla.
Menurut laporan, kilang baharu EVE di Kedah itu mungkin bakal menjadi pembekal utama Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk Tesla.
Fokus Awal Kilang di Kedah


Kilang EVE Energy di Malaysia & Kilang Giga Tesla di Shanghai
Pada peringkat permulaan, kilang di Padang Meha diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menghasilkan bateri litium bagi kegunaan alatan kuasa dan kenderaan elektrik dua roda. Produk dari kilang ini dijangka memenuhi permintaan pasaran di Asia Tenggara, Eropah dan Amerika Utara.

Kilang ini dijadualkan mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama (Q1) 2025 dan bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada 2,000 rakyat Malaysia, terutamanya dalam bidang teknikal.
Potensi Kerjasama Dengan Tesla
Spekulasi bertambah menarik apabila terdapat laporan bahawa kilang di Kedah ini mungkin akan mula membekalkan bateri kepada Tesla menjelang 2026. Media China, LatePost, mendakwa bahawa EVE dan Tesla telah menandatangani perjanjian untuk menerima bekalan sel bateri dari kilang Malaysia tersebut.
Walaupun EVE mengakui telah memeterai kontrak dengan "pelanggan dari Amerika," syarikat itu tidak menyebut nama Tesla secara spesifik. Ketika diminta memberikan penjelasan, EVE tidak mengesahkan atau menafikan hubungan dengan Tesla tetapi mengakui bahawa perjanjian itu dijangka meningkatkan pengaruh syarikat dalam industri penyimpanan tenaga global.
Tarikh Mula Operasi Yang Sama Dengan Tesla Shanghai Megafactory
Satu lagi aspek menarik ialah tarikh mula operasi kilang Padang Meha EVE dan Tesla Shanghai Megafactory adalah sama. Kilang di Shanghai itu dilaporkan akan memberi tumpuan kepada pengeluaran Megapacks, yang akan dipasarkan di China dan negara-negara lain.
Baca: Tesla Jalin Kerjasama Dengan 45 Pembekal Tempatan – Cerminkan Keyakinan Terhadap Pasaran EV Malaysia

