Everest semakin berbahaya, semoga Hawari selamat

Travel
22 May 2023 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saban hari ratusan pendaki sanggup meredah kesejukan hamparan Gunung Everest demi secebis kepuasan di puncak.

KALI ini Merak Jalanan nak berkongsi pendapat mengenai kejadian yang berlaku jauh dari Malaysia, namun tetap melibatkan rakyat dan negara tercinta ini.

Kelmarin, dilaporkan seorang pemuda orang kurang upaya (OKU), Muhammad Hawari Hashim hilang sewaktu berehat di Kem Empat selepas menawan puncak gunung Everest, Himalaya pada Khamis lalu.

Ada yang cakap dia keluar bersendirian tanpa pengetahuan malim gunung dan ketiadaannya berlaku sewaktu semua orang sedang berehat selepas berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.

Misi diberi nama Malaysia Everest 2023 (ME2023) itu disertai tiga pendaki termasuk Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuang Yaacub yang meninggal dunia di sana pada Khamis.

Ibarat seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila seorang pendaki meninggal dunia, seorang lagi hilang.

Merak Jalanan terfikir juga, kejadian sebegitu mungkin ada kaitan dengan perubahan iklim yang membuatkan Everest semakin ‘tak mesra pengunjung’.

Saban hari ratusan pendaki sanggup meredah kesejukan hamparan gunung itu demi secebis kepuasan di puncak.

Kita ini orang biasa-biasa, tidak kenal dengan Everest tetapi kalau malim gunung, Merak Jalanan percaya sebab mereka berpengalaman dan tahu ‘amaran alam’ di sana.

Sejak 1922, lebih 300 orang meninggal dunia ketika mendaki. Mungkin ada yang masih ingat, runtuhan salji di puncak gunung Everest setelah gempa besar di Nepal pada 2015. Seingat Merak Jalanan, itu bencana alam terburuk melibatkan pendaki.

Merak Jalanan pun tak faham, kenapa masih ramai begitu obsesi nak tawan gunung tertinggi itu walaupun dah banyak kejadian meragut nyawa.

Apa pun, sama-samalah kita doakanlah semoga pemuda OKU yang hilang itu ditemukan dengan selamat.

ARTIKEL BERKAITAN: