Evergreen Max Cash Capital meterai perjanjian taja jamin bersama Mercury Securities untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia
azan
01/08/2023 - 15:21
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Evergreen Max Cash Capital Berhad (EMCC) memeterai perjanjian taja jamin bersama Mercury Securities Sdn Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO penyedia perkhidmatan pajak gadai itu melibatkan terbitan awam sebanyak 267.6 juta saham baharu mewakili 25% daripada saham terbitannya yang diperbesarkan dan tawaran untuk jualan 43 juta saham sedia ada atau 3.9% daripada saham terbitannya yang diperbesarkan, kepada pelabur terpilih.
Daripada 267.6 juta saham baharu, 55.7 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian manakala 27.9 juta saham untuk pengarah dan pekerjanya yang layak serta orang yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sebanyak 44.6 juta saham lagi akan diterbitkan melalui penempatan kepada pelabur terpilih dan baki 139.4 juta saham diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Mercury Securities bersetuju untuk menaja jamin sejumlah 83.6 juta saham yang disediakan kepada orang ramai Malaysia.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan EMCC, Datuk Low Kok Chuan berkata, perjanjian taja jamin itu adalah perkara penting yang membawa mereka semakin hampir untuk disenarai di Bursa Malaysia.
"Permintaan untuk perkhidmatan pajak gadai dijangka berkembang kerana ia menawarkan penyelesaian yang lebih pantas bagi mereka yang memerlukan bantuan kewangan segera dan jangka pendek berbanding mendapatkan pinjaman bank.
"Selain itu, perkhidmatan pajak gadai kami mengisi jurang yang tidak disediakan oleh institusi kewangan kerana pinjaman pajak gadai kami menawarkan alternatif untuk penduduk yang tidak mempunyai akses kepada bank," katanya.
EMCC akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada September 2023 dengan Mercury Securities sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com

