Evergreen Max Cash terima pinjaman RM40 juta daripada CIMB bantu perniagaan pajak gadai

06/05/2025 - 11:24
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 6 Mei - Anak syarikat Evergreen Max Cash Capital Bhd (EMCC), Pajak Gadai E Assets Sdn Bhd (PGEA), menerima kemudahan pinjaman sebanyak RM40 juta daripada CIMB Bank bagi membiayai perniagaan pajak gadai.
EMCC berkata, PGEA telah menerima surat tawaran bagi kemudahan kredit pusingan jangka pendek bernilai RM40 juta daripada CIMB Bank.
"Pinjaman itu akan dijamin dengan bon korporat yang melibatkan cagaran tetap dan terapung ke atas pinjaman pajak gadai serta faedah yang diterima.
"Ia juga disokong oleh surat yang menyatakan semua pinjaman semasa dan akan datang daripada syarikat induk adalah lebih rendah keutamannya," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Jelasnya, PGEA telah memberikan surat janji yang tidak boleh dibatalkan daripada pemegang saham utama bagi memastikan mereka kekal mengawal syarikat dan terus memegang jawatan penting dalam pengurusan.
EMCC menambah, syarikat juga akan memberi jaminan kepada bank dan memastikan insurans barang kemas diperbaharui setiap tahun, dengan kepentingan CIMB dinyatakan secara rasmi sebagai perlindungan tambahan.
Pinjaman tambahan itu dijangka meningkatkan jumlah pinjaman kumpulan kepada RM152.84 juta, berbanding RM112.84 juta pada 31 Disember 2024.
Ini akan meningkatkan nisbah hutang kepada ekuiti syarikat daripada 0.48 kepada 0.64 kali.
Pinjaman tersebut dijangka memberi kesan positif kepada keuntungan dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, namun akan melibatkan kos sekali sahaja sebanyak RM650,000 bagi urusan penerimaan pinjaman.
EMCC disenaraikan di Pasaran ACE pada September 2023 dan terlibat dalam perniagaan pajak gadai, jual beli emas serta menawarkan khidmat perundingan dan rumusan teknologi maklumat kepada syarikat pajak gadai lain. - DagangNews.com
standard
