Eversendai peroleh kontrak baharu RM1.3 bilion, tingkatkan buku pesanan kepada RM6.6 bilion

20/05/2025 - 14:43
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 20 Mei - Eversendai Corporation Bhd memperoleh tiga kontrak baharu dengan nilai gabungan sebanyak RM1.3 bilion di Emiriah Arab Bersatu (UAE), India dan Singapura, sekali gus meningkatkan jumlah buku pesanan kepada kepada RM6.6 bilion.
Kumpulan itu berkata, kontrak-kontrak baharu itu terus mengukuhkan kedudukan Eversendai sebagai peneraju global dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan.
Di UAE, anak syarikatnya, Eversendai Offshore memperoleh projek daripada Dragados Offshore S.A.U. dari Sepanyol bagi kerja-kerja fabrikasi keluli struktur projek sambungan grid LanWin2, BalWin3, dan LanWin4 di Jerman.
Projek-projek ini adalah sebahagian daripada program 2-gigawatt (GW) TenneT, inisiatif inisiatif utama bagi menggandakan kapasiti grid luar pesisir Eropah dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).
Skop kerja meliputi kejuruteraan, perolehan, fabrikasi, pemasangan panel dan blok, kerja mengecat dan pemuatan. Semua kerja ini akan dijalankan di kawasan fabrikasi bertaraf dunia milik Eversendai seluas 200,000 meter persegi di Ras Al Khaimah, UAE, yang dilengkapi dengan 550 meter tepi dermaga untuk pembinaan berat dan modular. Penghantaran dijadualkan berlaku secara berperingkat sehingga Disember 2027.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri A.K. Nathan berkata, kejayaan itu menandakan penglibatan berterusan Eversendai dalam infrastruktur tenaga angin luar pesisir Eropah, setelah berjaya menyiapkan asas turbin angin luar pesisir Hollandse Kust Zuid Alpha dan Beta milik TenneT antara 2019 hingga 2021.
"Eversendai bangga dapat sekali lagi bekerjasama dengan TenneT melalui Dragados Offshore, didukung oleh kekuatan pasukan yang berpengalaman dan berdedikasi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Di India, Eversendai memperoleh kontrak keluli struktur bagi Fasa II Projek Pemodenan Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai.
Pengembangan itu akan menambah 1.2 juta kaki persegi kepada Terminal 2, dengan Eversendai membekalkan kerja-kerja keluli utama bagi bumbung, fasad dan struktur rentang panjang terminal dengan kesemuanya direka menggunakan rumusan canggih bagi ketahanan seismik, penyesuaian iklim dan operasi mampan.
Di Singapura, Eversendai dianugerahkan kontrak keluli struktur bagi Pusat Sains baharu, sebuah pembangunan mercu tanda yang bertujuan memajukan pendidikan dan inovasi saintifik.
Skop kerja melibatkan struktur komposit seperti kekuda, tiang dan rasuk dari Aras 2 hingga ke bumbung.
Ketiga-tiga kontrak ini merangkumi skop yang menyeluruh bermula daripada kejuruteraan dan lukisan, pembekalan bahan keluli, fabrikasi, penghantaran hingga ke kerja pemasangan di tapak yang menyerlahkan keupayaan pelaksanaan projek bersepadu Eversendai merentasi pasaran.
Kejayaan terbaru ini mengukuhkan lagi capaian global, kepakaran teknikal, dan keupayaan Eversendai untuk menyampaikan infrastruktur kompleks dan bernilai tinggi merentasi pelbagai industri dan geografi. - DagangNews.com
standard

