Ewon buat keputusan terlalu awal: Mustapha

Politics
10 Nov 2025 • 5:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata Presiden Upko Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan terlalu awal dan sepatutnya menunggu dahulu keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

“Perletakan jawatan Ewon adalah pramatang,” katanya selepas menghadiri mandat Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada perwakilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.

“Ewon sepatutnya hadir dahulu ke mesyuarat kabinet mingg depan untuk melihat apa keputusan yang dibuat. (Kerajaan Persekutuan) masih belum membuat sebarang keputusan lagi,” katanya.

Tegasnya, Ewon seolah-olah menganggap keputusan itu akan memihak kepada Kerajaan Persekutuan sedangkan tiada apa-apa yang diputuskan setakat ini.

“Tiada siapa yang mengatakan sama ada mahu membuat rayuan atau tidak terhadap keputusan mahkamah. Tiada apa-apa lagi. Jadi terlalu awal untuk Ewon berundur sekarang,” katanya.

Mustapha berkata PKR menghormati keputusan Ewon dan mengakui tindakan itu menunjukkan betapa seriusnya Upko terhadap isu berkenaan.

Beliau menambah PKR masih meneliti bagaimana perkara ini mungkin memberi kesan terhadap parti di Sabah. Mustapha juga menegaskan bahawa PKR Sabah sehaluan dengan parti-parti lain di negeri itu dalam menuntut hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan 40 peratus hasil negeri.

“Sebagai anak Sabah, saya tidak akan berundur dalam perjuangan MA63. Semua rakyat Sabah bersatu dalam isu ini, terutamanya berkaitan 40 peratus hasil. Kami menyokongnya,” katanya.

Namun beliau menegaskan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu diteruskan melalui kumpulan kerja sedia ada yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof — jawatankuasa yang turut dianggotai Ewon.

“Keputusan untuk menaikkan pembayaran interim daripada RM300 juta kepada RM600 juta juga dibuat melalui kumpulan kerja itu dan semua pihak bersetuju apabila ia dibawa ke jawatankuasa utama MA63. Semua ada di situ,” kata Mustapha.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan Kerajaan Persekutuan akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan 40 peratus hasil, Mustapha berkata rundingan masih diperlukan tetapi situasi agak rumit ketika ini kerana Sabah hanya mempunyai kerajaan sementara.

Beliau percaya Anwar Ibrahim menghormati MA63 dan hanya mahu kedua-dua pihak berbincang dengan sewajarnya.

Mustapha juga menjelaskan bahawa walaupun Ewon telah meletak jawatan dalam Kabinet, beliau (Ewon) masih dalam Pakatan Harapan dan parti terus menghormatinya sebagai Pengerusi PH Sabah.

Beliau turut mencadangkan agar sebuah tabung berdaulat diwujudkan untuk menguruskan hasil 40 peratus itu setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

“Perbelanjaan daripada tabung itu harus dibentangkan di Dewan Undangan Negeri supaya semua orang dapat melihat bagaimana wang itu digunakan untuk membantu rakyat Sabah,” katanya.