
TAWAU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick menghargai usaha pengurusan baharu Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd dalam meningkatkan kecekapan operasi Pelabuhan Tawau melalui penggunaan jentera baharu.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan perkembangan pesat ekonomi Tawau yang memerlukan sistem logistik lebih cekap.
“Saya juga menekankan kepentingan memperkukuh komunikasi antara pengurusan pelabuhan dan pengguna supaya setiap inisiatif dilaksanakan dapat difahami serta dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam lawatan sama, Ewon turut meninjau jeti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah yang digunakan bagi pengangkutan penumpang ke Pulau Sebatik.
Beliau juga melawat beberapa perusahaan tempatan, termasuk Shasyn Food Processing, KHM Trading dan Kerupuk Lelek Enterprise yang menerima pelbagai bantuan kerajaan sebelum ini termasuk geran mesin serta sokongan pembungkusan.
Menurutnya, bantuan tersebut diharap dapat membantu perusahaan berkenaan terus berkembang serta menjadi contoh kepada usahawan lain di Sabah.

